17 Julai 2014 – Harian Metro
Selayang: Snogurt Sdn Bhd, pemain industri bagi aiskrim yogurt (FroYo) menyasarkan pegangan pasaran 10 peratus di Asia bagi operasi dalam bentuk mudah alih iaitu ‘Snogurt Express’ yang bakal melebarkan sayap operasinya ke Jakarta, Indonesia dan Manila, Filipina pada suku ketiga tahun ini.
Operasi ke Jakarta diunjurkan bermula pada Julai ini manakala di Manila pada bulan berikutnya iaitu Ogos.
Ketua Pegawai Operasinya, Yen Chee Yung berkata, pihaknya mempunyai pelan jangka panjang yang mahu melihat operasi ‘Snogurt Express’ dalam kapasiti 500 unit dalam tempoh lima tahun akan datang selain 300 unit di Manila, Filipina dalam jangka waktu sama.
Pihaknya optimis apabila bakal menyertai pameran di kedua-dua negara itu pada Jun dan Julai ini dan akan menggunakan peluang berkenaan bagi merebut lebih banyak kerjasama.
“Melihat peluang yang ada, kita akan perluaskan operasi ke luar negara dan ketika ini sudah ada pihak berminat dengan produk kita.
“Bagi tujuan ini, kita tidak melihat pembukaan kilang baru dan akan mengekalkan operasi di Seri Kembangan namun akan menggunakan strategi sebagai pengeluar peralatan tulen (OEM) bagi memenuhi permintaan di luar kelak,” katanya kepada Bisnes Metro.
Pihaknya yakin ia akan membolehkan Snogurt menjadi antara pemain industri yang aktif dalam sistem francais negara selain memberi peluang ‘entry point’ atau jalan masuk yang mudah kepada generasi muda.
Menurutnya, risiko perniagaan juga tidak begitu membebankan kerana boleh menilai semula lokasi yang boleh memberikan margin perolehan selain mudah mendapat pinjaman daripada bank komersial.