Kuala Lumpur, 3 Mac 2021,
Jenama teh gaya hidup utama di Asia Tenggara, Tealive, bakal menembusi pasaran Kemboja dan menyasar membuka 25 cawangan di negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
agi tujuan ini, pemilik jenama, Loob Holding Sdn Bhd telah memeterai perjanjian francais induk dengan HSC Group, syarikat makanan dan minuman terbesar di Kemboja.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kemboja akan menjadi pasaran kelapannya selepas Malaysia, Vietnam, Myanmar, Brunei, Filipina, Australia dan United Kingdom.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata HSC adalah syarikat yang sesuai dengan jenama Tealive kerana ia menguruskan pelbagai jenama antarabangsa dalam industri makanan dan minuman.
“Kami akan membawakan format terkini Tealive 3.0 yang memenuhi keperluan norma baharu seperti pesanan dan pembayaran tanpa sentuh, model pandu lalu dan pandu masuk di tambah dengan pelbagai jenis makanan ringan Tealive Eats,” katanya.
Menurut Loob Holding, cawangan pertama Tealive di Kemboja akan dibuka di lokasi pilihan di Phnom Penh dengan keluasan lebih 3,000 kaki persegi beserta kemudahan tempat makan yang lengkap dan bahagian hiburan secara langsung.
Pemilik HSC Group, Oknha Sok Hong, berkata masa pembukaan cawangan itu sesuai ketika rakyat Kemboja kini bersedia menerima budaya teh moden memandangkan pelbagai jenama antarabangsa telah memasuki pasaran itu sejak kebelakangan ini dengan masih lagi ruang untuk berkembang.
“Kami berbangga dan juga teruja untuk memperkenalkan Tealive kepada rakyat Kemboja kerana penampilan produk jenama itu yang inovatif serta mewah dengan harga berpatutan adalah apa yang dimahukan golongan remaja.
“Dengan pengalaman tempatan HSC, kami akan menjadi pasukan yang hebat untuk membawakan jenama teh gaya hidup utama ini untuk dinikmati rakyat Kemboja,” katanya.
Syarikat itu ketika ini menguruskan jenama makanan dan minuman antarabangsa seperti Paris Baguette, Crystal Jade Restaurant, Burger King, 100 Plus dan lain-lain di negara itu selain jenama runcit dan kosmetik.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/03/792237/tealive-tembusi-pasaran-kemboja