18 November 2014 – Harian Metro
Kuala Lumpur: TCRS Group of Restaurants, memperuntukkan RM10 juta bagi membuka cawangan baru rangkaian restoran miliknya termasuk The Chicken Rice Shop, Dubu.Dubu, Pancake House dan Sweet Chat menjelang akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Gaik Wong berkata, bagi suku akhir tahun ini pihaknya bercadang membuka 10 cawangan baru kebanyakannya di pusat beli-belah.
Katanya, anggaran bagi membuka satu cawangan antara RM400,000 hingga RM700,000 bergantung kepada saiz dan lokasi.
“Lokasi yang dipilih adalah di sekitar Lembah Klang, Terengganu, Pahang, Perak dan Pulau Pinang. Selain itu, kami juga bekerjasama dengan pasar raya besar untuk membuka cawangan baru.
“Kami juga membuka lebih kurang empat cawangan The Chicken Rice Shop sebelum akhir 2015 dan setakat ini terdapat 72 rangkaian The Chicken Rice Shop di seluruh negara,” katanya selepas pelancaran Kempen Appetite For Change bersama Mercy Malaysia di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi TCRS Restaurants Sdn Bhd, Tunku Mu’tamir Tunku Mohamed dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus.
Wong berkata, The Chicken Rice Shop penyumbang terbesar bagi keseluruhan jualan kumpulan diikuti Dubu.Dubu, Pancake House International dan Sweet Chat.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, Mercy Malaysia dan TCRS julung kali menjalin kerjasama menjayakan kempen kesedaran untuk mengumpul dana bagi program bencana alam.