25 Ogos 2014 – Harian Metro
Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam bidang francais dalam tempoh dua tahun akan datang menerusi program yang dilaksanakan Akademi PNS.
Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodkhi Shahabudin berkata, PNS menjalankan latihan secara praktikal dan amali kepada pelatih yang akan disuai padankan dengan sektor francais yang diminati mereka.
Beliau berkata, program yang dilaksanakan sejak dua bulan lalu mendapat sambutan 25 usahawan muda yang akan ditemuduga oleh 10 syarikat francais dalam bidang makanan dan minuman.
“Golongan muda perlu mengambil peluang ini kerana ia memberi latihan untuk mengendalikan perniagaan francais bermula dari peringkat bawah sehingga cara menguruskan perniagaan.
“Golongan ini perlu meletakkan satu matlamat dalam hidup iaitu selepas menamatkan pengajian di universiti jangan terlalu fokus untuk menjadi pekerja, tetapi membina kerjaya sebagai usahawan terutama dalam sektor francais,” katanya kepada Bisnes Metro.
Akademi PNS yang ditubuhkan pada 1 Julai 2009 sehingga kini melatih 8,685 usahawan dan 25,711 pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bagi menghadiri program kesedaran francais yang dianjurkannya.
PNS menyasarkan untuk menjana pendapatan berjumlah RM11 juta dalam tempoh lima tahun akan datang yang mana 70 peratus daripadanya diperoleh melalui program latihan francais.
Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberi pembiayaan kepada semua golongan terutama generasi muda untuk membina perniagaan dalam bidang francais.
“Bagaimanapun, kami tidak mahu memberi pembiayaan terlalu mudah yang mana mereka perlu mempunyai perniagaan berpotensi tinggi serta sedikit modal perniagaan sebelum memohon pembiayaan daripada kami. “Sekiranya mereka mempunyai sedikit modal dan membuat kajian secara terperinci mengenai perniagaan, usaha untuk meneruskan kerjaya mereka tidak mudah berhenti berbanding golongan yang hanya bergantung kepada wang pembiayaan saja,” katanya.