25 JULAI 2013 – UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 24 Julai – Peserta Malaysia yang menyertai Pameran Malaysia-Kemboja kali keempat di Phnom Penh, Kemboja dari 28 hingga 30 Jun lalu, berjaya menjana jualan dan potensi projek bernilai RM63.66 juta.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam kenyataannya hari ini, program yang bertujuan mempromosi produk eksport negara itu diadakan bersempena Pameran SME Kemboja-Malaysia anjuran Gabungan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCIM).
Sebanyak 30 syarikat tempatan, penyedia perkhidmatan serta agensi kerajaan terlibat dalam pameran itu yang berjaya menarik 20,000 pengunjung.
Jelas Matrade lagi, sebanyak 737 perjumpaan perniagaan telah disusun untuk menemukan peserta Malaysia dengan pengimport, ejen jualan, pengedar dan rakan niaga Kemboja.
Antara produk dan perkhidmatan yang mendapat sambutan ialah barangan isi rumah, bateri kenderaan, lampu LED, makanan sejuk beku, minyak pelincir dan minyak enjin, produk keselamatan, perniagaan francais serta perabot.
Matrade akan menganjurkan program mempromosi yang sama di Myanmar dan Vietnam selepas ini.