Utusan Malaysia – 18 Mei 2016
KUALA LUMPUR 4 Mei – Syarikat Malaysia mendominasi anugerah Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan Asia dan Asia Pasifik (ADFIAP) yang diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-39 persatuan itu di Apia, Samoa kelmarin.
Pada majlis itu, sebanyak enam ahli Persatuan Institusi Kewangan dan Pembangunan Malaysia (ADFIM) memenangi sembilan anugerah daripada 10 kategori berbeza iaitu bagi anugerah individu dan khas.
Enam ahli ADFIM terbabit adalah SME Bank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Agrobank, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Credit Guarantee Corporation (CGC) Malaysia Berhad dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.
Pengerusi ADFIM, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus (gambar) berkata, kejayaan ahli-ahli ADFIM menunjukkan bahawa negara adalah antara pendahulu bagi pembangunan kewangan di rantau Asia Pasifik dan dilihat sebagai penanda aras kepada bidang kuasa lain.
“Melangkah ke hadapan, semua agensi perlu bekerja bersama-sama bagi menghasilkan penyelarasan yang lebih baik serta memastikan kerjasama yang cekap dalam mempromosikan dasar-dasar kerajaan dan pembangunan ekonomi berasaskan pelbagai sektor.
“Di peringkat Asia Pasifik, Malaysia terus menjadi pusat rujukan bagi kebanyakan negara berdasarkan pengalaman dalam membangunkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta francais,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
ADFIAP diasaskan pada 1976 sehingga kini mempunyai sebanyak 100 anggota terdiri daripada bank-bank pembangunan dan institusi kewangan yang terlibat dalam pembiayaan dan sokongan bagi pembangunan mampan di rantau Asia Pasifik dari 39 buah negara.
Pada majlis itu, Mohd. Radzif yang juga Pengarah Urusan Kumpulan SME Bank, menerima anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terbaik. SME Bank juga menerima anugerah pembangunan modal insan melalui Program Tabung Usahawan Siswazah (TUS) serta anugerah khas bagi laporan kemampanan terbaik.
Sementara itu, BPMB menerima anugerah bagi skim inisiatif pembiayaan swastanya (PFI) dalam sektor pendidikan bangunan hijau berprestasi tinggi, Perdana Putra; Agrobank pula membawa pulang anugerah komuniti pertanian dan komuniti kurang mendapat perkhidmatan; PNS menerima anugerah pembangunan PKS bagi program perniagaan dalam transformasi (BIT), manakala CGC menerima anugerah merit melalui pembiayaan BizWanita-i dalam kategori pembangunan infrastruktur dan anugerah khas bagi laman web terbaik.
Dalam kategori Pembangunan Ekonomi Tempatan pula, TEKUN Nasional mengungguli anugerah tersebut melalui Program Mentor-Mentenya.
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/syarikat-malaysia-dominasi-anugerah-adfiap-1.315415