11 December 2014 – Harian Metro
Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) optimis Program Transformasi Perniagaan (BIT) yang akan diperkenalkan akan membantu usahawan industri francais melebarkan perniagaan dengan lebih mudah.
Ia disifatkan sebagai pemodenan perniagaan apabila mereka diberi pendedahan kepada operasi lebih tersusun dan rapi.
Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodkhi Shahabudin berkata, pihaknya menjangkakan peringkat pertama bakal dilaksanakan bulan ini atau awal tahun depan.
Katanya, ketika ini pihaknya mempunyai 25 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan majoriti di bawah segmen makanan dan minuman (F&B).
“Kami akan memilih PKS sedia ada yang berada di bawah BIT untuk melihat dan menimba ilmu perniagaan secara holistik supaya dapat diadaptasi ke dalam perniagaan mereka.
“PNS yakin dengan kaedah ini mereka mampu memahami konsep cuba diketengahkan supaya mereka yang sebelum ini hanya berkecimpung secara kecil-kecilan dalam industri perniagaan mampu membuat perubahan dan membawa nilai komersial kepada produk dan perkhidmatan mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berkata, PNS juga optimis 10 lagi PKS akan menyertai BIT sehingga penghujung tahun ini memandangkan ia program bimbingan francais yang mampu membantu mereka pergi lebih jauh.
Menurutnya, syarikat juga akan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari peringkat negeri supaya dapat memberi dimensi yang lebih luas untuk usaha pemodenan perniagaan ini.
“Kami baru saja meluluskan pembiayaan kepada beberapa PKS untuk BIT dan menilai PKS yang baru untuk terbabit sama dalam program ini kelak,” katanya.
Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya juga berusaha untuk memperkasakan bidang perkhidmatan sebagai contoh pengangkutan untuk menjengah segmen francais selain mewujudkan konsep mentor di negara ini.
Katanya, pihaknya kini mencari peluang untuk memperluaskan ilmu dan pengetahuan usahawan selain giat mencipta program dan mengintai industri yang berpotensi untuk tujuan berkenaan.