5 Jun 2014 – Malaysia Gazette
Peneraju pusat pendidikan prasekolah swasta berkonsepkan francais, Smart Reader Worlwide Sdn.Bhd. bakal melebarkan sayap operasinya di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan pembukaan cawangannya akhir suku ketiga tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Kevan Ong berkata, seiring dengan itu, Smart Reader juga menawarkan program baharu dengan menawarkan program pendidikan agama Smart Tadris di negara berkenaan.
“Program Smart Tadris mengetengahkan pengetahuan asas agama dari segi rohani dan sahsiah menggunakan metodologi pengajaran dan pembelajaran pintar.
“Sejak projek perintis dijalankan tahun lalu di Malaysia, ia mendapat perhatian bukan sahaja dalam pasaran pendidikan tempatan malah dari pasaran antarabangsa.
“Penembusan syarikat kami ke Abu Dhabi, UAE akan dijalankan menerusi kerjasama dengan rakan kongsi yang juga bakal dilantik sebagai francaisi induk bagi melebarkan produk Smart Reader Worldwide ke seluruh negara berkenaan,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pusat pendidikan pra sekolah itu akan beroperasi pada September ini juga dilengkapi kemudahan prasarana pendidikan berlatarbelakangkan kampus pendidikan di bangunan sendiri villa tiga tingkat yang dikhaskan kerajaan Arab untuk tujuan perkembangan pendidikan ini kepada anak-anak mereka.
Malah katanya, pihaknya akan mendapatkan dua tenaga pengajar yang akan dilatih dengan metodologi pendidikan yag dilaksanakan selama ini mengikut persekitaran negara itu dan sepasukan wakil dua orang guru akan membimbing guru tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, Kevan berkata, buat masa sekarang, Smart Reader Worlwide sedang beroperasi di China, Asia Barat dan Asia Tenggara selain sedang meninjau peluang pasaran di Rusia dan Afrika.
Selain itu, ketika mengulas operasi Smart Reader di Malaysia, kata Kevan, syarikatnya bercadang memperkenalkan program Smart Tadris di 100 rangkaian cawangannya menjelang akhir tahun 2015 disebabkan sambutan luar biasa daripada ibu bapa beragama Islam.
“Kita telah menjalankan penyelidikan dan pembangunan selama dua tahun bagi mengkaji pasaran sebelum tampil memperkenalkan Smart Tadris dengan slogan Ke Arah Melahirkan Generasi Smart Muslim, Smart Tadris.
“Bagi menggerakkan program ini secara berkesan, kami bekerjasama dan melantik sepasukan panel Ustaz Islam dari Masjid Negara yang bertanggungjawab menentukan modul teks dan subjek pembelajaran merangkumi tujuh perkara utama iaitu akhlak, Jawi, Iqra, Aqidah, Ibadah, al-Quran dan bahasa Arab untuk membantu kanak-kanak menguasai Islam berasaskan metodologi terkini pendidikan kami,” ujarnya.
Buat masa ini, Smart Reader Worlwide mengendalikan kira-kira 308 pusat pendidikan di seluruh Malaysia menerusi rakan francaisnya selain mengeluarkan kira-kira lebih 10,000 graduan kanak-kanak setahun manakala lebih 20,000 kanak-kanak aktif berpendidikan pra sekolah di Smart Readers.
Syarikat itu juga bakal membuka lima hingga enam lagi fraincaisi itu di negara ini antaranya di Damansara, dua di Kuching , Sarawak dan Bangsar menjelang Ogos ini.-MalaysiaGazette.