8 Jun 2014 – Malaysia Gazette
Peneraju pusat pendidikan prasekolah swasta berkonsepkan francais, Smart Reader Worlwide Sdn.Bhd. yang selama ini hanya beroperasi di rumah-rumah kedai kini bakal mengorak fasa baharu.
Kali ini Smart Reader bakal memperluaskan pendidikan prasekolah itu ke tahap lebih tinggi apabila akan membuka sebuah sekolah rendah antarabangsa di Johor Bahru menjelang tahun 2016.
Pengarah Eksekutifnya, Kevan Ong berkata, Smart Reader akan menawarkan program pendidikan sekolah rendah dan menengah di sekolah antarabangsa itu yang akan dibina di atas tanah seluas dua hektar di Bandar Datuk Onn.
“Ia merupakan pelan jangka masa panjang dan pada masa yang sama ramai dalam kalangan ibu bapa dan pihak di luar sudah mula menyoal kami mengenai agenda ini yang kini bakal direalisasikan tidak lama kemudian nanti.
“Sebenarnya kita telah merancang lebih tiga tahun dengan pelbagai kajian dan penyelidikan dan pembangunan dan akhirnya tampil dengan inisiatif murni ini demi perkembangan pendidikan kami.
“Sebab kenapa kami memulakan di Johor kerana di Kuala Lumpur bilangan sekolah antarabangsa sudah berlambak dan sudah pasti kita akan mendapat persaingan walaupun menyediakan metadologi pendidikan terkini,” katanya ketika ditemui pemberita dalam satu pertemuan bersama media di ibu pejabatnya di Kepong Business Park, Segambut di sini semalam.
Menurutnya, apabila siap, kanak-kanak yang bergraduan di prasekolah Smart Reader akan memulakan alam persekolahan normal bermula tahun satu hingga enam dan seterusnya pelajaran menengah rendah dan menengah atas di sekolah antarabangsa Smart Reader nanti demi meneruskan tradisi kecemerlangan mereka.
Buat masa ini Smart Reader Worlwide mengendalikan sebanyak 308 pusat pendidikan di seluruh Malaysia menerusi rakan francaisnya sejak mula beroperasi pada tahun 1988 selain mengeluarkan kira-kira lebih 10,000 graduan setahun.
Manakala lebih 20,000 kanak-kanak aktif berpendidikan pra sekolah di Smart Reader.-MalaysiaGazette.