8 Februari 2016 diisytiharkan Tahun Baru Cina sekaligus membawa zodiak Shio Monyet. Tahun monyet ini memperlihatkan unjuran positif kepada semua individu. Mengikut ramalan Feng Shui, tahun monyet ini akan menjadi tahun yang menguntungkan dan memberi seribu satu kenangan manis kepada individu. Janganlah kita melepaskan peluang berharga ini yang mampu melonjakkan perniagaan kita. Bak kata pepatah, Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Para penggiat francais adalah tunjang utama kepada keadaan ini dan langkah segera harus diambil.
Dalam kesibukan tahun 2016 yang dilanda kemelesatan ekonomi, suatu anjakan paradigma telah dilakukan oleh penggiat francais di Malaysia iaitu Adan Laundry. Syarikat pakar pencuci pakaian ini mengambil langkah drastik melebarkan sayapnya dengan menempatkan master franchisee di beberapa buah negeri. Usaha yang dilakukan oleh francaisor tersebut iaitu En. Zamani Zakaria memperlihatkan tahun 2016 ini sebagai lubok emas dalam mencapai cita-citanya iaitu memperkenalkan konsep ‘coin operated laundry’ ke serata Malaysia. Dengan adanya master franchisee ini, ia membantu franchisor dalam menyelaraskan sistem operasi dengan lebih teratur.
Masyarakat Malaysia tidak lagi asing dengan restoran tempatan kita yang sedang pesat berkembang iaitu Marrybrown. Marrybrown yang berkonsepkan ‘fast food restaurant’ menyajikan makanan barat dan juga tempatan. Makanan baratnya seperti Tower Burger mengandungi isi ayam yang disalut dengan rempah ratus menggiurkan dan menjadi pilihan utama peminat Marrybrown. Selaras dengan usaha Presiden Marrybrown iaitu Dato’ Lawrence Liew yang ingin memperkenalkan Marrybrown di serata dunia, sebuah outlet Marrybrown telah dibuka di China pada awal tahun ini. Outletnya yang tersergam indah di Xing Jiang mendapat sambutan yang hangat dari para peminatnya sekaligus membuka mata dunia luar bahawa jenama Malaysia mampu dipasarkan ke serata dunia.
Tahun 2016 ataupun tahun monyet ini pastinya memberi faedah kepada semua. Berdasarkan usaha penggiat-penggiat francais ini yang berjaya, tidak salahlah para penggiat lain menjadikan mereka sebagai contoh yang terbaik dalam mengembangkan perniagaan. Persatuan Francais Malaysia (MFA) turut sedia membantu para penggiat francais di Malaysia ini dengan adanya program yang disediakan. Francais International Malaysia, pameran francais terbesar Asia yang bakal diadakan pada 6-8 Mei ini turut menjadi platform terbaik bagi mengembangkan perniagaan para penggiat francais. Jangan lepaskan peluang yang ada ini kerana tahun 2016 pasti menjadi tahun yang menggemparkan.
Penulis: Najib Danial