Kuala Lumpur, 11 Februari 2019,
Rangkaian kedai elektronik pengguna terkemuka, Senheng Electric (KL) Sdn Bhd (Senheng) yakin untuk mencapai sasaran perolehan sebanyak RM1.5 bilion pada 2019.
Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, sasaran berkenaan adalah peningkatan kira-kira 20 peratus berbanding tahun lalu yang berjaya merekodkan perolehan berjumlah RM1.2 bilion.
Beliau berkata, tumpuan seimbang antara segmen digital atau online dan offline berjaya mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih baik, seterusnya menyumbang kepada prestasi cemerlang pada 2018.
“Kami menjangkakan Senheng akan mendapat lebih banyak sambutan menerusi model perniagaan yang dilaksanakan ini dan berkeyakinan untuk meraih perolehan yang disasarkan.
“Penggunaan platform digital ternyata memberi maklum balas yang baik kepada syarikat kerana ia menjadikan Senheng lebih mudah dan selesa untuk dijadikan destinasi beli-belah perkakasan keperluan rumah,” katanya dalam temubual di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, ketika ini Senheng mempunyai 112 cawangan di seluruh negara dan pada masa sama ia turut disokong oleh 10 gudang bagi melicinkan operasi logistik dan sistem penghantarannya.
Menurutnya, dengan model perniagaan itu, tiada keperluan bagi pihaknya untuk membuka sebarang cawangan baru sebaliknya memperkukuh operasi sedia ada.
“Untuk tahun ini, syarikat akan melabur sebanyak RM100 juta bagi pembukaan tiga gudang di Shah Alam, Johor Bahru dan Kota Kinabalu sebagai tambahan kepada gudang sedia ada di seluruh negara.
“Gudang baru ini akan melengkapkan ekosistem perniagaan yang mana kami dapat menghantar barang dengan cepat kepada pelanggan iaitu penghantaran terus pada hari esok,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2019/02/529348/senheng-sasar-pendapatan-rm15-bilion-tahun-ini