15 May 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 14 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan sektor francais akan menyumbang RM26.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, berbanding RM25.4 bilion tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pertumbuhan kira-kira lima peratus tersebut didorong oleh perkembangan positif industri francais negara.
Katanya, usaha kerajaan dalam membantu mengembangkan industri francais di negara ini semakin menampakkan kejayaan dan sehingga kini, sejumlah 770 syarikat francais telah berdaftar di negara ini.
“Sehingga kini, sebanyak 60 jenama tempatan telah difrancaiskan ke luar negara dengan kira-kira 2,000 cawangan di 54 buah negara. Antara jenama yang berjaya adalah seperti Marrybrown, Smart Reader dan Nelson.
“Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk terus mempromosikan industri francais tempatan ke luar negara melalui Skim Pembangunan Francais dalam Bajet 2015 bagi tempoh lima tahun sehingga 2020,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Mohd. Latip Sarrugi dan Pengarah Urusan Naza Tutti Frutti (M) Sdn. Bhd. (Tutti Frutti), Izham Hakimi Hamdi.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, KPDNKK bersama MFA bakal menganjurkan FIM 2015 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 12 hingga 14 Jun depan.
Menurutnya, pameran yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan melibatkan 139 ruang pameran terdiri daripada 76 syarikat tempatan dan 34 syarikat antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Australia, Singapura, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu.
“Jumlah penyertaan meningkat berbanding 118 ruang pameran pada 2014 dan kami menganggarkan akan mencapai potensi belian sebanyak RM370 juta berbanding RM265 juta yang diperoleh tahun lalu,” ujarnya.