13 Oktober 2014 – Utusan Malaysia
KUALA TERENGGANU 12 Okt.- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yakin industri francais akan terus berkembang dan menyumbang sehingga RM25.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) kementerian itu, Datuk Basaruddin Sadali berkata, jangkaan pertambahan kira-kira RM1 billion itu seiring dengan peningkatan jumlah syarikat berasaskan francais di negara ini.
“Sehingga akhir September tahun ini sahaja, sejumlah 745 buah syarikat francais daripada pelbagai sektor telah didaftarkan dan ini merupakan petanda yang positif terhadap pembangunan industri francais di Malaysia,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Francais Komuniti Zon Timur 2014 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini semalam.
Sebanyak 17 buah syarikat francais mengambil bahagian dalam program berkenaan selain lima buah agensi di bawah KPDNKK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Francais Malaysia (MFA) serta beberapa syarikat yang berkaitan.
Sempena program itu turut diadakan sesi perkongsian pengalaman bersama usahawan francais serta Klinik Francais yang menarik penyertaan kira-kira 300 usahawan kecil.
Katanya, sektor makanan dan minuman menjadi penyumbang terbesar untuk industri francais iaitu sebanyak 36 peratus.
Dalam pada itu, Basaruddin memberitahu, tidak sampai 30 peratus golongan bumiputera yang terlibat secara langsung dalam industri francais ketika ini.
“Sehubungan itu, kita mahu mereka menceburi bidang ini kerana ia mampu menghasilkan keuntungan yang lumayan. Kerajaan memandang serius perkembangan industri ini dan kita menyediakan bantuan dalam bentuk pinjaman modal dan juga khidmat nasihat kepada mana-mana usahawan yang berminat,” ujar beliau.