Bangkok, 12 Julai 2024,
Sektor francais di sini digalakkan untuk meneroka pelbagai jenama francais untuk dipamerkan di Malaysian Pavilion semasa Thailand Franchise Business Opportunities Expo (TFBO) 2024, kelmarin.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick berkata, Malaysian Pavilion di TFBO 2024 mempunyai tujuh jenama terkenal seperti D’ Tandoor, FatNinjas, Global Art, IrisPro, MuzArt, Myeongdong Topokki dan Cleanpro.
Beliau menyatakan harapan bahawa acara ini akan menjadi pemangkin bagi kedua-dua pihak untuk memulakan pertumbuhan dan pengembangan perniagaan mereka dengan melabur dalam jenama francais Malaysia di Thailand.
Katanya, Malaysia dan Thailand telah menjalinkan hubungan erat untuk sekian lama dengan kerjasama ekonomi menjadi asas kepada persahabatan ini yang dipacu oleh interaksi perdagangan dan pelaburan yang besar.
“Bersama-sama sebagai ahli ASEAN, kita telah bekerjasama untuk memajukan integrasi serantau, memupuk kestabilan ekonomi dan meningkatkan kemakmuran untuk rakyat kita.
“Perdagangan antara Malaysia dan Thailand telah berkembang secara berterusan sepanjang tahun.
“Negara kita adalah rakan dagang utama, dengan pertukaran barangan dan perkhidmatan yang pelbagai.
“Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Thailand mencapai tahap baharu, mencerminkan ekonomi kita yang dinamik dan saling melengkapi,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan.
Ewon menekankan bahawa aspek paling dinamik dalam hubungan perdagangan adalah dalam sektor francais dan keusahawanan.
“Francais Malaysia telah berjaya menembusi pasaran Thailand, memperkenalkan pelbagai model perniagaan dan konsep inovatif.
“Pada masa yang sama, usahawan Thailand telah mencapai kemakmuran di Malaysia, memperkayakan persekitaran perniagaan tempatan kita dengan idea dan peluang baharu.
“Kerajaan kita telah memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ini, menawarkan pelbagai insentif, bantuan kewangan dan program latihan untuk menggalakkan francais merentasi sempadan.
“Acara seperti TFBO menyediakan platform untuk perniagaan merapatkan rangkaian, meneroka peluang dan menjalin perkongsian baharu,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Artikel Penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2024/07/12/sektor-francais-perlu-laksana-kerjasama-untuk-perkembangan-bersama