14 May 2015 – Bernama
KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Sektor francais dijangka menyumbang RM26.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, berbanding RM25.4 bilion atau 2.6 peratus tahun lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sasaran peningkatan sebanyak lima peratus itu dipacu perkembangan positif syarikat francais yang kini berjumlah 770 buah.
Daripada jumlah tersebut, 22 peratus adalah dari luar, katanya pada sidang media mengenai program Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di sini, hari ini.
Ahmad Bashah berkata, 60 syarikat francais tempatan telah berjaya membuka 2,000 cawangan perniagaan di 54 negara, termasuklah di Timur Tengah dan Indonesia.
“Francais makanan dan minuman mendominasi industri, di mana 50 peratus daripadanya syarikat tempatan, diikuti perkhidmatan 30 peratus dan selebihnya sektor lain,” kata beliau.
Merujuk kepada FIM 2015, beliau berkata, ia adalah kerjasama antara kementeriannya dan Persatuan Francais Malaysia dan menyasarkan belian francais RM370 juta, berbanding RM365 juta dicatat tahun lepas.
Pameran kali ke-22 di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 12 hingga 14 Jun itu dijangka menarik 12,000 pengunjung dan menyaksikan 139 pempamer, iaitu melebihi sasaran awal sebanyak 110 ruang jualan.
FIM 2014 yang disertai 118 pempamer tempatan dan antarabangsa berjaya menarik 10,000 pengunjung.
Sementara itu, timbalan menteri itu berkata, Bajet 2015 memperuntukkan RM20 juta untuk tempoh lima tahun bagi membantu syarikat francais tempatan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.