Kuala Lumpur, 12 Jan 2021,
Semua murid tingkatan satu, empat dan enam serta murid tahun satu hingga enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan ke sekolah bermula 20 Januari ini.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, bagaimanapun, murid-murid tingkatan dua dan tiga di negeri terbabit hanya dibenarkan ke sekolah pada 8 Mac depan.
“Untuk negeri-negeri PKPB, sekolah rendah dibuka dan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dijalankan secara bersemuka.
“Maksudnya dari pra sekolah sehingga tahun enam akan hadir ke sekolah, bagi tingkatan 1 di negeri-negeri PKPB dan PKPP juga adalah PdP secara bersemuka.
“(Sementara) murid tingkatan 2 di negeri-negeri PKPB dan PKPP akan dijalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 8 Mac 2020.
“Pengumuman saya pada 8 Novemeber lalu, pada tahun 2021 didahulukan pelajar SPM 2020. Untuk tujuan itu, kita maklumkan bahawa murid tingkatan 2 dan 3 akan berada di rumah terlebih dahulu sehingga 8 Mac 2021,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pelajar-pelajar di Kolej Matrikulasi pula hanya dibenarkan menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid.
Dalam pada itu, tambah Radzi lagi, pengoperasian tadika swasta juga dibenarkan di negeri-negeri di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB dan PKPP
“Untuk tadika swasta dibuka di negeri PKP, PKPB dan PKPP. PKP dilaksanakan pada hari ini berbeza dengan PKP pada Mac (2020), PKP ketika itu lebih ketat sektor dan sektor ekonomi tidak dibuka.
“Untuk membolehkan ibu bapa bekerja menghantar anak-anak ke sekolah maka kita benarkan tadika di kawasan PKP turut dibuka,” jelas Radzi lagi.
Mengulas mengenai kerisauan ibu bapa berhubung penularan kes COVID-19 ketika ini, ujar Radzi, terpulang pada pertimbangan waris sama ada mahu menghantar anak-anak mereka ke tadika.
Dalam pada itu, demi memastikan keselamatan murid, kerajaan akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) diikuti setiap tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian itu.
Sumber: Astro Awani
Artikel Penuh: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/sekolah-di-negeri-pkpb-pkpp-dibuka-20-januari-tadika-swasta-beroperasi-macam-biasa-277370