7 September 2014 – Berita RTM
Kota Kinabalu – Sektor francais negara berada pada tahap membanggakan berikutan sejumlah 743 francaisor dalam pelbagai sektor, berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Francais Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), setakat 30 Ogos lepas.
Menurut Menterinya Datuk Seri Hasan Malek , daripada jumlah tersebut, 7,405 perniagaan francaisi, berjaya diwujudkan.
Sistem francais juga diiktiraf sebagai kaedah yang amat popular dan berkesan di luar negara dengan sehingga kini, sejumlah 58 jenama francais tempatan berkembang ke 53 negara asing dengan mewujudkan sejumlah 2,119 premis perniagaan termasuk Tokyo, Amerika Syarikat dan Afrika Selatan.
Menurutnya lagi , industri francais negara menyumbang sebanyak RM25.4 bilion atau 2.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2013, yang merupakan jumlah yang sangat besar, dan dijangkakan dapat dipertingkat tahun depan.
Kerajaan memperuntukkan RM8 juta pinjaman mudah kepada peniaga francais mikro dan kecil tahun ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah dalam perniagaan francais.
Perkembangan lain, kementerian itu akan menambah 472 pegawai penguat kuasa, termasuk di Sabah, menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015 bagi melengkapkan kira-kira 1,800 pegawai penguat kuasa, dalam memantau peniaga yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.