Petaling Jaya, 1 Februari 2023,
Secret Recipe memulakan 2023 dengan pembukaan cawangannya yang ke-350 di Malaysia dan bercadang meningkatkan jumlah itu kepada lebih 400 menjelang akhir 2025.
Pengarah Urusan Secret Recipe, Patrick Sim, berkata pihaknya menyedari operasi dan kehadirannya berpotensi untuk meninggalkan kesan yang ketara dalam komuniti ia beroperasi.
Justeru, beliau berkata, pihaknya menganggap ia sebagai tanggungjawab untuk menjadikan impaknya positif.
“Dalam hal ini, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa Secret Recipe bukan saja mencipta impak positif tetapi juga menempa warisan yang berterusan sehingga hari ini.
“Selain menepati janji kami untuk menyampaikan kek gourmet terkemuka kepada pelanggan, kami berbangga untuk mencapai pembukaan ketara cawangan ke-350 kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Duta Jenama Secret Recipe, Mira Filzah berkata, beliau membesar dengan jenama itu dan amat menyukainya.
Beliau yakin Secret Recipe itu akan terus berkembang dan kejayaan pembukaan cawangan ke-350 itu adalah salah satu daripada banyak lagi yang akan datang.
Sejak penampilan sulungnya pada 1997, Secret Recipe menarik perhatian penggemar makanan dari semua lapisan masyarakat.
Lebih 25 tahun, jenama itu berkembang menjadi salah satu rangkaian kek gaya hidup dan kafe yang paling pesat berkembang di rantau ini, dengan cawangan dibuka bukan saja di Malaysia malah di Singapura, Thailand, Brunei, Maldives dan Bangladesh.
Jenama itu telah menjadi nama khas untuk perayaan dalam apa juga bentuk, pada bila-bila masa dan di mana saja dengan rangkaian cawangan yang semakin berkembang di seluruh rantau ini.
Bagi memperingati pembukaan cawangannya yang ke-350, seramai 350 ahli Secret Recipe baharu yang mendaftar melalui aplikasi Secret Recipe MY yang datang ke cawangan 1 Utama pada 31 Januari lalu menerima kek cawan edisi terhad.
Sementara itu, sehingga 6 Februari 2023, semua pelanggan di cawangan Secret Recipe di 1 Utama akan menerima diskaun 35 peratus bagi pembelian RM60 dan ke atas (tidak termasuk kek penuh atau sempena promosi yang sedang berlangsung).
Sebagai bonus, pelanggan di bawah program ganjaran SR akan menerima tiga kali mata aplikasi untuk pembelian yang dibuat di Secret Recipe 1 Utama sehingga 6 Februari 2023.