KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan nilai potensi pelaburan francais sebanyak RM370 juta dengan penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2014, Jun depan.
Menteri KPDNKK Datuk Seri Hasan Malek berkata, nilai pelaburan itu dijangka diperoleh daripada penjualan sistem francais kepada 1,500 francaisi berpotensi oleh 130 syarikat francais dan pempamer yang akan menyertai FIM.
“Tahun lalu, FIM 2013 mencatat nilai potensi pelaburan francais berjumlah RM368 juta melalui penjualan sistem francais kepada 1,340 francaisi berpotensi.
“Jadi tidak mustahil nilai tersebut boleh meningkat sebanyak RM2 juta, menjadikannya RM370 juta,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran FIM 2014 di Putrajaya, semalam.
Katanya, program bermula 13 hingga 15 Jun di Pusat Dagangan Dunia Putera itu dianjurkan untuk memberi peluang kepada penggiat francais tempatan dan antarabangsa untuk mempromosikan sistem francais mereka sekali gus meluaskan rangkaian perniagaan masing-masing.
“Program ini juga sebagai platform untuk mempertemukan penggiat francais dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman, idea dan pengetahuan bagi menyemarakkan pembangunan industri francais negara,” katanya.
Sementara itu, FIM 2014 yang menyasarkan kehadiran 300 peserta persidangan dan 12,000 pengunjung turut menerima penyertaan antarabangsa dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Jepun dan Filipina.
“Setakat ini, 65 peratus ruang pameran sudah diisi oleh usahawan francais dari dalam dan luar negara. Baki 35 peratus dijangka terisi akhir Mei depan,” katanya.