13 Jun 2015 – Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar sekurang-kurangnya 40 jenama dan cawangan francais di luar negara setiap tahun.
Peningkatan itu akan dilakukan menerusi Program Eksport Francais yang dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata program itu akan menyediakan bantuan kewangan kepada francaisor tempatan dalam dua bidang iaitu pendaftaran hak cipta intelek dan mendapatkan perjanjian francais luar negara.
“Saya berharap francaisor yang layak termasuk francaisor Bumiputera yang ingin kita tingkatkan jumlah penyertaannya, akan mengambil peluang ini dalam mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain itu, kerajaan juga akan membantu menyokong pembangunan francais termasuk program latihan, bantuan juruterjemah, suai padan antara syarikat dan individu serta menghantar ke misi dagangan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pagi ini.
Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd Latip Sarrugi.
FIM kali ini disertai lebih 85 syarikat francais dari dalam dan luar negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia dan Taiwan.