Putrajaya, 29 Mac 2023,
Selepas dua tahun ‘terganggu’ seketika disebabkan isu pandemik Covid-19, Resepi Arena Sdn. Bhd. mula bangkit meluaskan bisnes francaisor restoran ayam penyet.
Malahan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusannya, Amran Abd. Hamid, pihaknya optimis mampu membuka lebih sedozen outlet sepanjang tahun ini.
“Insya-Allah, saya yakin dengan sasaran untuk dapat menambah sehingga 15 lagi lokasi francaisi Penyet Penyet.Com di seluruh negara,” katanya ketika ditemui secara eksklusif.
Terdahulu, beliau memeterai memorandum persefahaman bagi perjanjian francais di sini dengan pihak francaisi, CK Link Sdn. Bhd. untuk pembukaan outletnya di Alor Setar, Kedah.
Premis ke-29 itu terletak di kompleks beli-belah ikonik, Aman Central yang dijangka dapat mula beroperasi pada 27 April depan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ia merupakan outlet kedua diusahakan oleh francaisi tempatan yang berpangkalan di Puchong, Selangor itu selepas Genting Highlands, Pahang dibuka lebih dua bulan lalu.
CK Link diwakili Pengarahnya, Chester Eng manakala Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Zainab Abdul Kadir hadir sebagai saksi bagi mewakili organisasi tersebut.
Penyet Penyet.Com yang asalnya dikenali sebagai Dapur Penyet sejak 2010 lalu sebelum dijenamakan semula pada 2020, menawarkan sajian enak Nusantara bersih serta halal.
Mengulas lanjut, Amran berkata, beliau yakin sektor bisnes makanan akan menjadi daya tumpuan mereka yang mencari peluang peruncitan stabil menjana pertumbuhan positif.
“Alhamdulillah kerjasama dengan CK Link bermula enam bulan lalu membuktikan prospek francais ini baik malah outlet di Genting Highlands telah pun berjaya balik modal,” katanya.
Justeru, beliau melihat pasaran di Utara dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia sebagai lokasi berpotensi kepada Resepi Arena yang selama ini banyak fokus di Lembah Klang.
Bahkan ujarnya, misi tersebut selaras hala tuju francaisor itu sendiri menyasarkan bakal membantu 100 usahawan francaisi memiliki outlet Penyet Penyet.Com menjelang 2025.
Amran merujuk pengalaman ketika negara berdepan isu cabaran penularan Covid-19 pada 2020 lalu apabila Resepi Arena masih dapat bertahan dengan kukuh tanpa masalah.
Rahsianya, beliau setiap hari ada sesi libat urus dengan semua francaisi bagi memberikan sokongan moral serta menilai masalah agar mereka tidak kecewa dan menutup operasi.
Selain itu, beliau juga memperkenalkan banyak pembaharuan antaranya skim francais mampu milik untuk lokasi medan selera dengan pelaburan serendah hanya RM100,000.
Sementara untuk lokasi premis di rumah kedai pula, francaisi yang berminat cuma perlu melabur hingga RM300,000 manakala pusat beli-belah boleh mencecah kos RM500,000.
“Saya memberi jaminan bahawa kebajikan semua francaisi sentiasa diberikan perhatian dan sedia membantu anak muda berwawasan dapat mengembangkan bisnes,” tambahnya.
Sumber: Bebas News
Artikel Penuh: https://bebasnews.my/2023/03/29/sasar-15-outlet-francais-penyet-penyet-com-dibuka-tahun-ini/