2 Ogos 2014 – Berita Harian
Perbadanan Nasional Bhd (PNS) bercadang untuk membina perkampungan francais menjelang akhir tahun ini. Ia dalam usaha kumpulan berkenaan mewujudkan ekosistem lengkap bagi francais di negara ini.
Pengarah Urusan, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodkhi Shahabudin berkata, bagi tujuan itu, PNS menyasar untuk menjalinkan kerjasama dengan 10 jenama francais sebagai perintis kepada perkampungan berkenaan.
Katanya, perkampungan francais yang pertama kali bakal diwujudkan di negara ini, adalah langkah strategik PNS bagi menggalakkan lebih ramai penyertaan rakyat Malaysia dalam sektor francais terutama golongan muda.
Cari lokasi
“PNS ingin mewujudkan sebuah perkampungan yang terdiri daripada pemain francais saja di mana ia menawarkan pelbagai jenis perniagaan seperti kedai makanan dan minuman, perkhidmatan dobi atau pusat mencuci kereta,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Syed Kamarulzaman berkata, kini pihaknya masih dalam proses mencari lokasi sesuai untuk mewujudkan kawasan perniagaan itu dengan memberi tumpuan di Wilayah Tengah sebelum diperluaskan ke negeri lain pada masa depan.
Katanya, PNS menjangkakan perkampungan francais akan disertai majoritinya daripada sektor makanan dan minuman serta perkhidmatan.