RManagement Sasar Buka Lima Ar-Rahnu X’Change Setiap Tahun
Pengurus Besar Dr Mokhrazinim Mokhtar berkata secara keseluruhan pada masa ini terdapat 95 unit rangkaian Ar-Rahnu X’Change di seluruh negara dengan 52 unit rangkaiannya dimiliki 35 buah koperasi sebagai francaisi dan 43 unit lagi milik penuh Bank Rakyat.
Mokhrazinim berkata syarikat amat selektif tentang pemilihan francaisi bagi memastikan setiap cawangan memperoleh keuntungan yang baik.
“Perniagaan ini mempunyai risiko rendah serta dapat menjana pendapatan yang baik. Pendapatan perniagaan ini dijana melalui caj penyimpanan di mana penggadai dikenakan caj 65 sen bagi setiap RM100 nilai harga emas sebulan,” katanya.
Secara keseluruhan semua rangkaian menunjukkan prestasi yang menggalakkan dengan jumlah baki pinjaman sehingga September melebihi RM460 juta, katanya pada pada majlis menandatangani perjanjian francais bersama Koperasi Kimma Malaysia Bhd (KOPKIMMA).
Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata pihaknya bercadang mempelbagaikan perniagaan koperasi dan memilih pajak gadai Islam sebagai satu cara menjana pendapatan.
“Kami mendapati orang India sangat gemar kepada emas, dan gadaian Islam berpotensi bagi mereka untuk dijadikan sumber untuk mendapatkan tunai dengan cara lebih mudah dan selamat dan tiada unsur penipuan,” katanya.
Dengan modal awal sebanyak RM500,000 pihaknya bercadang membuka cawangan pertamanya di kawasan Masjid India yang banyak menempatkan kedai-kedai emas masyhur di ibu negara.
Beliau berkata koperasi bercadang membuka lima cawangan dalam jangka masa dua tahun.
— BERNAMA