Putrajaya, 15 Mac 2023,
Sejumlah RM550 juta nilai transaksi pelaburan disasarkan menerusi penganjuran Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2023 (FIM 2023).
Acara yang berlangsung pada 18 hingga 20 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu bakal disertai 150 pempamer dari dalam dan luar negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof menyeru kehadiran semua pihak khususnya bakal usahawan yang berminat meneroka potensi perniagaan dalam sektor francais.
“Dapat kita memperkenal satu inisiatif baharu kepada mana-mana francaisor yang ingin mengemukakan solusi kreatif dan inovatif boleh kita bincang dan mungkin hasilkan inisiatif baru, pada masa sama, dapat bantu francaisi.
Kami faham masing-masing mempunyai masalah kos pengurusan sebab itu di peringkat KPDN akan melihat pendekatan sama ada perlu peruntukan kewangan dalam bentuk geran atau pinjaman, kita akan bincang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran FIM 2023 di sini.
Program anjuran bersama Persatuan Francais Malaysia itu dijangka menarik kehadiran 15,000 pengunjung.
Ketika ini terdapat lebih 1,100 francaisor berdaftar di seluruh negara membabitkan lebih 10,000 francaisi dalam pelbagai bidang antaranya makanan dan minuman, produk kecantikan serta perkhidmatan.
Sumber: Berita RTM
Artikel Penuh: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/59325-rm550-juta-transaksi-pelaburan-disasar-sempena-fim-2023