Penampang, 29 Mei 2023,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperuntukkan sejumlah RM50 juta khusus untuk Skim Pembiayaan Francais dan Pra Francais bagi tahun 2023.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan itu diberikan untuk pembangunan perniagaan francais selaras dengan nilai Kesejahteraan MADANI bagi usahawan.
Katanya, sebagai usaha membantu usahawan francais tempatan di Sabah berkembang dengan lebih jauh, Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada 66 syarikat dengan jumlah RM14,667,149 juta sejak 2009.
“Perkembangan perniagaan seperti Mok Corner misalnya menunjukkan jenama tempatan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sekali gus membuktikan jenama tempatan mampu bersaing dengan jenama-jenama francais antarabangsa yang lain.
“Perkembangan positif ini juga menjadi pemangkin kepada bakal usahawan dan usahawan di Sabah untuk menceburkan diri dalam perniagaan francais,” katanya.
Menurut Ewon, kemunculan jenama francais tempatan dari Sabah seperti Kak Nong, Al-Hadanah, Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen dan Daily Electronic Centre (DEC) juga turut merancakkan industri francais.
Terdahulu, sejak 2004, sebanyak RM428 juta telah disalurkan kepada 2,162 usahawan untuk pembangunan industri francais negara.
KUSKOP menerusi Pernas terus komited melaksanakan semua inisiatif untuk memastikan kemajuan dan kejayaan usahawan fraincais, bertepatan dengan ikhtiar Bitara MADANI yang memberi fokus kepada pembangunan keusahawanan yang memerlukan jangka masa yang panjang dalam merealisasikan kejayaan.
Sumber: Kosmo!
Artikel Penuh: https://www.kosmo.com.my/2023/05/29/rm50-juta-untuk-usahawan-francais-tahun-ini/