12 November 2014 – Sinar Harian
PASIR PUTEH – Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan mengagihkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5 juta kepada 40 peniaga francais menerusi program Pemodenan Perniagaan.
Ketua Seksyen Pembiayaan 3, PNS, Mohd Rasydan Jusoh berkata, program tersebut untuk perniagaan yang memerlukan modal tidak melebihi RM25,000.
Menurutnya, PNS sedia memberikan pinjaman RM24,800 kepada setiap outlet atau 90 peratus daripada kos perniagaan yang diusahakan.
“Mereka perlu membayar balik pinjaman itu dalam tempoh dua hingga tiga tahun dengan kadar faedah paling minima iaitu sebanyak tiga peratus,” katanya.
Menurutnya, PNS turut memberi latihan dan khidmat nasihat percuma kepada usahawan yang mempunyai hala tuju jelas dalam perniagaan.
Di Kelantan setakat ini katanya, hanya dua perniagaan yang beroperasi hasil tunjuk ajar PNS iaitu kedai makanan ringan Waffer King dan kedai minuman segera ColdTime.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kedai ColdTime bersebelahan Bank Simpanan Nasional di sini, kelmarin.
Mohd Rasydan berkata, ColdTime yang bakal memiliki lesen francais berpeluang mengembangkan usaha dengan menubuhkan 20 outlet yang mendapat pinjaman PNS.
Sementara itu, Pengurus ColdTime, Nor Azlinie Ahmad berkata, Cold Time bersedia untuk membantu usahawan berminat termasuk siswazah menganggur.
“Saya memulakan perniagan dengan bermodalkan RM25,800 dengan konsep Take Away ini sejak lapan bulan lalu dengan membuka kedai di Alor Hijau, Selising.
“Hari ini saya memberanikan diri untuk bersaing di kawasan bandar dengan menubuhkan cawangan kedua ini, saya berharap orang ramai memberikan sokongan kepada kami sebagai syarikat Bumiputra,” katanya.
ColdTime katanya, menawarkan harga istimewa kepada produk minuman segera dengan pilihan lebih 88 perisa.