27 JULAI 2013 – UTUSAN MALAYSIA
KUALA PILAH 26 Julai – Sebanyak RM5.7 juta telah diagihkan kepada 213 francaisi di seluruh negara melalui program Skim Pembiayaan Kecil Francais atau mikro francais pada tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, jumlah tersebut adalah daripada RM8 juta peruntukan yang diberikan kerajaan kepada kementerian menerusi agensi Perbadanan Nasional Berhad (PNS) pada tahun lalu.
Menurut beliau, pembiayaan itu diberikan kepada francaisi yang menunjukkan minat dan prestasi baik untuk 24 model perniagaan mikro francais.
“Perkembangan konsep francais ini amat memberangsangkan walaupun ia mula diperkenalkan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada ketika itu hanya mempunyai tujuh francais.
“Diharapkan lebih ramai usahawan, koperasi dan syarikat yang berminat meneroka bidang francais di seluruh negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri hadir majlis berbuka puasa Ahli Parlimen Kuala Pilah bersama Dewan Undangan Negeri Juasseh di Masjid Kariah Taman Desa Anggerik di sini malam tadi.
Hasan berkata, sektor yang banyak memohon pembiayaan itu adalah peruncitan iaitu sebanyak 38 peratus, perkhidmatan (33 peratus), makanan dan minuman (21 peratus) manakala hanya lapan peratus untuk sektor pendidikan.
Selain itu, beliau berharap, usahawan yang berminat untuk memohon pembiayaan tersebut boleh menghubungi terus pihak PNS.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai kejayaan pihak PNS mengenalpasti lima usahawan prafrancaisor di bawah program Transformasi Perniagaan yang dijalankan untuk membantu menaik taraf perniagaan kecil melalui konsep perniagaan moden.
Katanya, usahawan kecil diberikan peluang memperbesarkan perniagaan agar menjadi lebih kompetitif dan sistematik untuk menjana lebih keuntungan selain menambah daya saing di pasaran, seterusnya membangunkan perniagaan tersebut sebagai francais.
Lima usahawan prafrancaisor yang berada di bawah program itu adalah perniagaan Ice Blended (Rich D Blended), buah potong dalam cawan (Myfruit zone), sengkuang calit (old Time Sengkuang), Evora Marketing (Waffle Station) dan Waffle King (Perniagaan Waffle).
“Pihak PNB menyasarkan 10 usahawan dalam program ini pada 2013 dan berharap dengan kejayaan lima usahawan terdahulu sasaran tersebut dapat dicapai. Inilah transformasi yang sedang dijalankan melalui PNS,” katanya.