13 December 2014 – BERNAMA
PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) — Industri francais dijangka menyumbang sebanyak RM25.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata jumlah ini meningkat berbanding RM24.6 bilion yang direkodkan pada tahun lepas.
“Sumbangan ini merupakan jumlah yang sangat besar. Di negara asing, sistem francais diiktiraf sebagai kaedah yang popular dan berkesan untuk mengembangkan sesuatu perniagaan selain menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.
Berucap pada Program Francais Komuniti Zon Tengah di sini Sabtu, beliau berkata sejak konsep perniagaan secara francais diperkenalkan, sebanyak 757 francais dengan 7,525 perniagaan francaisi yang terdiri daripada pelbagai sektor, didaftarkan.
Ini berbeza jika dibandingkan dengan semasa konsep perniagaan itu mula diperkenalkan 22 tahun lepas iaitu hanya 15 pendaftaran perniagaan francaisi sahaja,” kata Hasan.
Mengulas lanjut Hasan berkata sebanyak 2,400 outlet francais dengan 58 jenama milik rakyat tempatan beroperasi di 53 negara termasuk Jepun, Emiriah Arab Bersatu serta Kanada.
“Ini membuktikan bahawa produk yang dihasilkan rakyat negara ini mampu menembusi pasaran luar, sekali gus dikenali ramai,” katanya.
— BERNAMA