22 January 2015 – Utusan Malaysia
JOHOR BAHRU 21 Jan. – Pemegang jenama francais Tony Roma’s di Malaysia, Revenue Valley Sdn. Bhd. (Revenue Valley) merancang membuka empat lagi cawangan restoran berkenaan, termasuk di Brunei dalam tempoh dua tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi Revenue Valley, Dickson Low berkata, selain Brunei, pihaknya merancang membuka cawangan Tony Roma’s di Empire Damansara, Kuala Lumpur, Sarawak dan Genting Highlands, Pahang.
“Kita sentiasa menerima maklum balas yang baik tentang Tony Roma’s dan disebabkan itu kita membuka cawangan pertama di luar Lembah Klang iaitu di Johor pada tahun lalu, sekali gus berharap akan terus berkembang pada masa akan datang.
“Pada masa ini kita mempunyai sembilan cawangan Tony Roma’s di seluruh negara termasuk di negeri ini,” katanya selepas majlis meraikan media di Restoran Tony Roma’s di Komtar JBCC, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue Valley, George Ang Choon Yan; Presiden Romacorp Inc. Ken Myres dan Ketua Pegawai Pemasaran Romacorp Inc., Jim Rogers.
Revenue Valley yang terlibat dalam industri makanan dan minuman sejak sedekad lalu di negara ini merupakan pemegang lesen utama jenama francais The Manhattan Fish Market, Popeye’s Louisiana Kitchen selain Tony Roma’s.
Mengulas tentang Tony Roma’s di Komtar JBCC, Low berkata, sambutan yang diterima amat baik sehingga menjadi cawangan kedua terbaik pada tahun lalu dan setakat ini pada tahun ini, jumlah jualan di Komtar JBCC menduduki tempat pertama.