Utusan Online – 10 Disember 2015
Deric Yeo (empat dari kiri) bergambar bersama pegawai Revenue Valley dan MFA di restoran The Manhattan Fish Market di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Dis. – Pemegang jenama francais The Manhattan Fish Market, Revenue Valley Sdn. Bhd. (Revenue Valley) merancang membuka 15 lagi cawangan restoran berkenaan membabitkan pelaburan lebih RM16 juta pada tahun depan.
Pengurus Unit Perniagaan Francaisnya, Deric Yeo berkata, rancangan itu membabitkan pembukaan enam cawangan di dalam negara iaitu di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Sarawak, sementara sembilan lagi di enam buah negara iaitu Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Brunei, China, Hong Kong, Macau dan Filipina.
Beliau berkata, sembilan daripada cawangan baharu itu membabitkan pelaburan secara francais, manakala bakinya di bawah pemilikan syarikat.
Katanya, sehingga kini syarikat mempunyai 61 rangkaian restoran The Manhattan Fish Market iaitu 31 cawangan di dalam negara dan 30 lagi di luar negara termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Myanmar, Oman, India dan Jepun.
“Di sebalik kejatuhan nilai ringgit dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), perniagaan syarikat di dalam negara terus berdaya maju dengan pertumbuhan jualan antara lima hingga tujuh peratus pada tahun ini dan jangkaan perolehan kira-kira RM57 juta, berbanding RM47 juta tahun lalu.
“Malah pada tahun depan, syarikat menjangkakan dapat mengekalkan prestasi jualan melalui pelbagai strategi yang dirancang, termasuk pengenalan menu-menu baharu yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Unit Perniagaannya, David Lee Wee Eng. Terdahulu, syarikat meraikan kejayaan memenangi Anugerah Francaisor Terbaik pada Malam Anugerah Francais 2015 baru-baru ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh.
Revenue Valley yang terlibat dalam industri makanan dan minuman sejak sedekad lalu di negara ini merupakan pemegang lesen utama jenama francais The Manhattan Fish Market, Popeye’s Louisiana Kitchen selain Tony Roma’s.
Mengulas lanjut, Yeo berkata, dalam usaha mengekalkan daya saing perniagaan, syarikat yang menyasarkan golongan muda berusia antara 15 hingga 35 tahun sentiasa memastikan menu yang ditawarkan sentiasa segar dan menepati selera pelanggan.
Untuk itu katanya, syarikat berhasrat memperkenalkan menu-menu baharu tempatan seperti nasi kerabu bersama sate dan makanan luar negara bagi memberi pelbagai pilihan pelanggan.
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/revenue-valley-labur-rm16-juta-1.167331#sthash.dSQA7JXt.dpuf