24 Januari 2022,
PENYELIDIKAN dan pembangunan (R&D) modul francais perlu sentiasa dilakukan bagi memastikan formula kejayaan perniagaan tersebut dapat dikekalkan secara berterusan.
Perkara itu dikongsi oleh Setiausaha Agong Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh yang turut memberitahu, bahawa improvasi modul perlu dilakukan dari masa ke masa oleh pemilik jenama francais.
“R&D ini akan menjadi resipi kejayaan yang boleh digunakan kepada usahawan lain yang baru melibatkan diri dalam dunia francais.
“Ia juga perlu dilaksanakan secara berterusan kerana landskap perniagaan masa kini cepat berubah dan modulnya juga perlu sentiasa dikemas kini,” katanya kepada Majoriti.
Mohamad Shukri berkata demikian selepas merasmikan cawangan kedai dobi layan diri Laundrybar di Kota Damansara Selangor pada Ahad.
Katannya lagi, perniagaan francais adalah modul yang cepat membuahkan hasil dan kejayaan kerana dibuktikan dengan kisah kejayaan.
Jelasnya lagi, kisah, rahsia dan resipi kejayaan itu merupakan antara input yang boleh menjadi intipati dalam modul perniagaan francais.
Sementara itu, Mohamad Shukri turut memberitahu MFA sentiasa mendidik masyarakat supaya memahami konsep francais dalam melibatkan diri atau membangunkan perniagaan.
“Kita sentiasa mendidik masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program seperti seminar, kelas bimbingan dan siri jelajah untuk bertemu dengan usahawan-usahawan di Malaysia.
“Setakat ini, kita ada 70 jenama tempatan yang sudah melebarkan sayap di seluruh dunia menerusi francais dan hal ni boleh menjadi inspirasi kepada ushawan baharu khususnya untuk melibatkan diri dalam konsep perniagaan ini,” ujarnya.
Sumber: Majoriti
Artikel Penuh: https://majoriti.com.my/berita/2022/01/24/rd-franchais-perlu-sentiasa-dikemaskini