5 January 2015 – Harian Metro
Kuala Lumpur: Kebanyakan peniaga melihat saranan kerajaan agar harga barang diturunkan dilakukan selari dengan penurunan harga bahan api RON 95, 97 dan diesel pada 1 Januari lalu adalah satu langkah baik untuk dilaksanakan, namun menegaskan ia perlu relevan dengan kos keseluruhan perniagaan masing-masing.
Bekas Presiden Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) Datuk Nelson Kwok menyifatkan penggunaan bahan api hanyalah sebahagian daripada kos perniagaan keseluruhan dan tidak boleh dijadikan alasan kukuh untuk menyeru peruncit supaya menurunkan harga produk dan perkhidmatan.
“Kebanyakan peruncit perlu mempertimbangkan pelbagai kos seperti pembayaran gaji pekerja atau sebagainya sebelum melaksanakan perkara ini dan saya lihat ia memang boleh dilaksanakan terutama dalam kalangan syarikat pengangkutan memandangkan mereka memang menggunakan bahan api sebagai asas perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, penurunan harga barang boleh dilakukan jika seluruh rangkaian perniagaan membabitkan pemborong dan lain-lain melakukan perkara sama dan menyeru supaya pihak terbabit turut menyokong saranan yang diusulkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Noorul Hassan Saul Hameed berkata, penurunan harga bahan api itu tidak akan memberi kesan kepada penurunan harga barangan jika harga barangan dan perkhidmatan lain masih berada pada harga yang tinggi.
Menurutnya, beliau menyeru pihak berkuasa melakukan penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan harga barangan tidak dinaikkan sesuka hati dan turut menyarankan satu kajian menyeluruh mengenai perkara itu dilakukan untuk mengetahui permasalahan dan mewujudkan mekanisme penyelesaian.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Mohd Latip Sarrugi pula berkata, penurunan harga produk hendaklah dilakukan secara telus dan rasional memandangkan ia membabitkan pelbagai perkara berkaitan perniagaan masing-masing.
“MFA tidak membuat sebarang penetapan pada masa ini, namun ingin mengingatkan setiap syarikat francais supaya mengambil kira peranan masing-masing dalam membantu kemajuan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, beliau menyokong saranan supaya setiap peniaga menurunkan harga produk dan ia adalah tindakan wajar memandangkan kos bahan api adalah sebahagian daripada kos perniagaan syarikat.
“Saya menyeru setiap syarikat supaya menurunkan harga barangan kerana ia adalah tanggungjawab sosial mereka untuk membantu rakyat dan menyumbang kepada ekonomi negara. Saya berharap pihak kerajaan akan berusaha membantu usaha ini dengan melakukan kerjasama dengan peniaga, agensi dan kementerian terbabit,” katanya.
Sejak 1 Januari lalu, kerajaan mengumumkan penurunan harga minyak RON 95 sebanyak 35 sen iaitu daripada RM2.26 per liter pada awal Disember lalu kepada RM1.91, RON 97 turun 35 sen daripada RM.246 per liter kepada RM2.11 manakala harga diesel turun 30 sen daripada RM2.23 per liter kepada RM1.93