21 November 2014 – Harian Metro
Kuala Lumpur: Suzhan F&B Management Sdn Bhd (Suzhan F&B Management) pemilik rangkaian Restoran Pie Harbour mengunjurkan pendapatan sehingga RM20 juta setahun bersandarkan rancangan pembukaan lebih banyak cawangan di seluruh negara.
Ketika ini, Pie Harbour mempunyai empat cawangan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang mana dalam tempoh lima tahun ia merancang untuk menerokai segmen francais.
Pengerusinya, Datuk Mahadi Abdul Shukor berkata, cawangan keempatnya yang baru dibuka di Pusat Membeli Belah Low Yat, Kuala Lumpur dijangka mampu membantu mencapai unjuran berkenaan bersandarkan bilangan pungunjung yang ramai di lokasi terbabit.
Beliau berkata, Pie Harbour menawarkan pelbagai jenis pai dan lokasi santai sesuai dengan cita rasa golongan muda untuk meluangkan masa di sini selain menikmati makanan serta minuman.
“Ketika ini, kami memfokuskan pembukaan cawangan di pusat membeli belah kerana ia mampu meraih lebih banyak pelanggan terutama golongan muda untuk menikmati hidangan di Pie Harbour.
“Bagi menerokai sektor francais, kami dalam usaha ke arah itu terutama menyiapkan keperluan dari segi dapur pusat. Syarikat melihat ia mempunyai potensi yang tinggi untuk berkembang di pasaran tempatan dan asing pada masa depan,” katanya pada pelancaran cawangan keempat Pie Harbour di sini, semalam.
Ketika ini, Pie Harbour mempunyai 14 jenis pai, sandwic, muffin dan pasta bagi cawangan tertentu serta pelbagai jenis kopi. Harga jualan pie bermula RM6.90 hingga RM10.90 sekeping.
Mahadi berkata, bagi perancangan tahun depan, Pie Harbour akan membuka empat cawangan di sekitar Lembah Klang dalam usaha meningkatkan penjenamaannya dalam kalangan pelanggan di lokasi berkenaan.