Shah Alam, 1 Februari 2024,
Pusat Pakaian Hari-Hari menerusi Jualan Rahmah menawarkan diskaun RM3 untuk pembelian uniform sekolah dan RM6 untuk kasut sekolah sempena Putrajaya Open Day 2024 yang diadakan di Putrajaya bermula hari ini sehingga 4 Februari depan.
Pusat Pakaian Hari-Hari dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, diskaun tersebut diberikan untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya ibu bapa untuk membuat persediaan awal menyediakan kelengkapan sekolah anak mereka yang akan mula bersekolah pada Mac nanti.
“Menariknya, sepanjang Jualan Rahmah selama empat hari itu, Pusat Pakaian Hari-Hari menyediakan kelengkapan sekolah sama ada untuk pelajar sekolah rendah dan menengah dengan menawarkan harga yang berpatutan.
“Orang ramai terutamanya ibu bapa perlu berkunjung ke reruai kami yang terletak di dalam khemah besar berhadapan bangunan Perbadanan Putrajaya berhampiran Istana Kehakiman Putrajaya, Putrajaya untuk mendapatkan kelengkapan sekolah anak-anak mereka kerana stok adalah terhad,” jelas Pusat Pakaian Hari-Hari.
Menurut kenyataan itu, Jualan Rahmah itu berlangsung pada Khamis hingga Sabtu bermula jam 9 pagi hingga 10 malam manakala Ahad pula, sesi jualan akan berakhir pada jam 5 petang.
“Orang ramai jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tawaran diskaun yang disediakan kerana ia sangat berbaloi.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh: https://www.sinarharian.com.my/article/647446/berita/nasional/pusat-pakaian-hari-hari-tawar-diskaun-uniform-sekolah-rm3-kasut-rm6