PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mempergiatkan program bagi mempromosi jenama francais tempatan ke pasaran Asean Timur Tengah dan Asia Timur.
Program itu adalah Franchise Malaysia Goes Global (FMGG) dan Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP).
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kementerian mempunyai visi untuk mewujudkan industri francais yang dinamik, berdaya saing dan menjadi penyumbang utama dalam ekonomi negara.
Beliau berkata industri francais memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negara dengan menyumbang RM26.8 bilion atau 3.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.
“Saya yakin peningkatan jenama francais tempatan di luar negara akan membantu merealisasikan agenda kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab francais di rantau Asia Tenggara,” katanya pada Majlis Anugerah Ar-Rahnu X’Change 2016 di sini malam ini.
Beliau juga berkata KPDNKK menyasar sumbangan industri francais untuk terus meningkat dan menyumbang RM35 bilion kepada KDNK menjelang 2020.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Bank Rakyat Tan Sri Shukry Mohd Salleh. Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh dan Pengerusi Rakyat Management Service Sdn Bhd Datuk Seri Alias Ahmad.
Sambil memberi contoh, Hamzah berkata Ar-Rahnu X’Change, francais pajak gadai Islam, terus mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Sepanjang 2016, rangkaian Ar-Rahnu X’Change mencatat jumlah pengeluaran pinjaman sebanyak RM988 juta.
“Justeru, koperasi perlu mengambil peluang terhadap potensi perniagaan ini yang juga menawarkan latihan dan bimbingan profesional, prosedur operasi standard, program pemasaran serta kos pakej francais yang rendah selain prospek keuntungan yang tinggi,” katanya.
Francaisi Rawang Ar-Rahnu memenangi Anugerah Keseluruhan sebagai cawangan yang mendapat skor peraturan tertinggi di antara semua cawangan.
Pada majlis itu, Rakyat Management Services turut melancarkan sambutan ulang tahun ke-10 Ar-Rahnu dengan beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat bersama usahawan makro, peraduan menerusi media sosial, program pembangunan perniagaan dan pemasaran akan diadakan. – Bernama