Petaling Jaya, 13 Oktober 2022,
Lebih 1,000 peserta yang menyertai Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tahun ini sedar betapa penting sokongan kerajaan dan komuniti kepada industri francais berskala mikro.
Lihat sahaja aktiviti disediakan acara terakhir jelajah itu, yang menyediakan pelbagai sesi berguna termasuk “business pitching” dan pemadanan, konsultasi, ceramah, dan pameran oleh syarikat-syarikat francais yang menawarkan pakej permulaan perniagaan pada skala mikro dan mampu milik, termasuk bantuan kewangan atau pembiayaan yang ditawarkan kerajaan.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Azman Mohd Yusof berkata jelajah itu salah satu komponen Program Pembangunan F3M iaitu inisiatif untuk membangunkan industri francais berskala mikro dan menarik penglibatan lebih ramai rakyat menceburi perniagaan francais, khususnya golongan B40 dan M40.
“Program ini diwujudkan untuk memberikan pendedahan mengenai Program Pembangunan F3M serta memberikan inspirasi berkaitan peluang perniagaan francais kepada masyarakat umum.
“Suka untuk saya mengambil kesempatan ini bagi menyeru semua peniaga dan bakal peniaga untuk memanfaatkan apa sahaja peluang dan insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu menyokong perkembangan perniagaan anda,” katanya dalam ucapan sempena Jelajah F3M Zon Tengah.
Diadakan di banyak lokasi seluruh negara, sebanyak 12 siri jelajah dianjurkan KPDNHEP sepanjang tahun ini, dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia.
Bawah program F3M ini juga, KPDNHEP mewujudkan insiatif pemberian geran penuh agar francaisor dapat membangunkan lebih banyak pakej permulaan perniagaan francais mampu milik bernilai RM100,000 dan ke bawah, serta pakej francais mikro bernilai RM50,000 dan ke bawah.
Turut diwujudkan inisiatif pemberian geran padanan, untuk mengurangkan kos permulaan perniagaan francais yang perlu ditanggung bakal francaisi B40 dan M40, di mana kadar pembiayaan yang ditawarkan sebanyak 90% kepada francaisi yang berpotensi.
Sejak tahun lalu, “KPDNHEP memperaku dan meluluskan 41 penerima geran yang terdiri daripada 19 penerima geran penuh dan 33 penerima geran padanan,” kata Azman.
“Hari ini juga kita akan menyaksikan penyampaian geran kepada 11 penerima geran penuh yang baharu dan telah diluluskan.”
Sementara itu, Pengerusi MFA, Radzali Hassan, amat berbesar hati kepada KPDNHEP atas kepercayaan yang diberikan bagi melaksanakan Program F3M.
MFA sentiasa berusaha memantapkan pelaksanaan Program F3M agar konsep perniagaan francais dapat dihayati masyarakat, dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, sama ada sebagai pemilik atau pekerja syarikat francais.
Sumber: Free Malaysia Today
Artikel Penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/10/13/program-f3m-kpdnhep-pacu-francais-mikro-perkenal-inisiatif-geran-penuh-dan-padanan/?fbclid=IwAR2IUW3MykRhP8fbLgWN2d56LzVb_X1Hb0Mdu4TRK5bx5zKz_jZTOHX8iX8