14 Mac 2014 – Utusan Malaysia
SELAYANG 13 Mac – Pandan Utama Sdn. Bhd., pemilik francais syarikat perkhidmatan pembersihan komersial dan kediaman, Procleaners menyasarkan untuk menembusi pasaran luar negara menjelang hujung tahun ini
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasarudin Abu Hassan berkata, syarikat ketika ini sedang mengkaji dua negara iaitu Jakarta, Indonesia dan Hong Kong yang dilihat mempunyai pasaran yang baik untuk perkhidmatan mereka.
Katanya, bandar-bandar tersebut menjadi pilihan kerana mempunyai penduduk golongan pertengahan yang tinggi dan merupakan pasaran sasaran syarikat.
“Kami melihat ramai orang pada masa ini yang tidak suka mempunyai pembantu rumah untuk tinggal bersama mereka kerana mahukan privasi. Oleh itu, mereka lebih suka mendapatkan perkhidmatan kami untuk mencuci rumah mereka pada satu-satu masa.
“Jadi, kami sasarkan untuk mempunyai francais kami di pasaran luar negara sama ada Jakarta atau Hong Kong menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Procleaners yang mula ditubuhkan pada 2001 itu kini mempunyai 32 cawangan di seluruh negara kecuali Sarawak dan 31 daripadanya dijalankan secara francais.
Syarikat terbabit yang mula memfrancaiskan perniagaannya pada 2011, ketika ini menguasai kira-kira 30 hingga 40 peratus pasaran bagi perniagaan tersebut.
Sementara itu, Nasarudin berkata, syarikat juga yakin dapat meningkatkan jualan sehingga 100 peratus pada tahun ini didorong oleh usahanya mendapatkan kontrak-kontrak baharu pada tahun ini.
Menurutnya, syarikat tidak begitu agresif untuk menambah francais pada tahun ini kerana fokus mereka adalah pada bandar-bandar yang mempunyai penduduk pertengahan seperti golongan muda dan pasangan yang bekerja.
“Kami sudah memasuki kebanyakan bandar-bandar di negara ini yang merupakan pasaran utama kami. Langkah kami sekarang adalah untuk menambah kontrak sedia ada dari segi komersial dan dari rumah ke rumah bagi meningkatkan jualan,” katanya.