FRANCAIS merujuk kepada sistem pemasaran perniagaan melibatkan sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi hak kepada syarikat lain (francaisi) bagi mengendalikan perniagaan, mengikut sistem francais yang ditetapkan francaisor.
Kebiasaannya, francaisor mempunyai produk yang diterima baik oleh masyarakat dan kukuh dari segi jenamanya, dengan mempunyai model perniagaan tersendiri dan manual operasi menyeluruh.
Jenis perniagaan ini selalu diimpikan oleh usahawan, termasuk syarikat korporat dan persatuan perniagaan kerana model perniagaannya yang memudahkan, bimbingan latihan diberikan francaisor, selain mempunyai jenama kukuh di pasaran.
Walaupun banyak manfaat boleh diperoleh menerusi perniagaan francais, namun kos untuk membangunkan dan memulakan perniagaan ini dikatakan agak tinggi, malah ada yang menelan pelaburan sehingga jutaan ringgit.
Ia disebabkan model perniagaannya yang lengkap dengan khidmat nasihat teknikal, jaringan latihan, produk yang ditawarkan dan kelengkapan yang disediakan menyeluruh oleh francaisor.
Bagaimanapun, dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ketika ini, sesuatu perlu dilakukan bagi mewujudkan francais mampu milik, sekali gus merancakkan lagi industri francais.
Kajian semula kos francais mungkin perlu dilakukan, sesuai dengan keadaan ekonomi semasa, bagi menarik lebih ramai menceburi bidang francais.
Pun begitu, bidang francais bukanlah satu perniagaan yang boleh dicuba-cuba kerana selain melibatkan kos tinggi, ia juga mempunyai kaitan hubungan rapat antara francaisor dan francaisi, yang menyumbang kepada pengembangan syarikat.
Kerajaan menyasarkan industri francais akan menyumbang sebanyak RM35 bilion atau 4.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjelang 2020 dan sehingga tahun lalu, sebanyak RM26.6 bilion dicatatkan.
PNS kenal pasti potensi perniagaan francais
PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) terus komited melaksanakan peranannya untuk mengenal pasti perniagaan berpotensi untuk menjadi sebuah syarikat francais yang berjaya, dalam usaha menjadikan francais lebih mampu milik.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, menerusi program francaisi dan pra-francaisi di bawahnya, PNS mengenal pasti model perniagaan kecil yang boleh dibantu, untuk di naik taraf kepada model perniagaan francais.
Katanya, antara program dijalankan termasuklah program Transformasi Perniagaan (BIT), ‘Varsity Enterpreneurship Skills & Talent’ (Vest) dan trak makanan (food truck).
“Menerusi program BIT yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu, lebih 60 usahawan dilahirkan. Setiap tahun, kami akan menerima 20 syarikat baharu di bawah program ini. Pada tahun lalu, sebanyak tiga daripada lima syarikat membuat permohonan francais, berjaya dijadikan sebagai francaisor.
“Manakala, menerusi program Vest yang dilancarkan bulan lalu, kami mencari 100 hingga 200 jenis perniagaan baharu, daripada minda orang muda, melibatkan 20 buah universiti. Kami akan memilih lima hingga 10 pasukan daripada setiap universiti. Mana perniagaan yang berpotensi, akan diberikan pembiayaan untuk jalankan perniagaan dan kita juga beri mereka bimbingan,” katanya.
Syed Kamarulzaman berkata, francais mempunyai pelbagai jenis model perniagaan dan berbeza dari segi sektor yang diusahakan.
“Ia tidak terhad kepada francais yang berkos mahal, seperti jenama francais makanan segera terkemuka, yang melibatkan pelaburan setengah juta. Ada francais yang berskala kecil dan tidak memerlukan kos tinggi untuk dibangunkan.
“Kos (bangunkan dan mulakan perniagaan francais) bukanlah isunya sekarang, sebaliknya ia cuma hanya salah satu daripada faktornya. Faktor lain adalah model perniagaan itu sendiri,” katanya.
Sehingga kini, PNS sudah mengagihkan pembiayaan sebanyak RM420 juta kepada 1,900 syarikat francais dan pra-francais.
Pada tahun ini, PNS memperuntukkan sejumlah RM30 juta hingga RM40 juta pembiayaan untuk sektor francais, termasuk untuk perniagaan trak makanan.
PNS membiayai kira-kira 70 peratus daripada projek kos yang dipohon oleh syarikat francais.
Marrybrown kekalkan kos
Marrybrown Sdn Bhd, pengendali rangkaian restoran makanan segera tempatan, tidak bercadang untuk mengkaji semula kos bagi francaisi di bawahnya memulakan perniagaan francais, dengan membuka cawangan baharu Marrybrown, pada masa ini.
Pengurus Bahagian Francais & Perkhidmatannya, Kairul Azman Mohd Yusoff berkata, ia memandangkan model perniagaan Marrybrown berkonsepkan sepenuhnya restoran, yang mempunyai pelbagai jenis menu dan memerlukan ruang restoran lebih besar, dengan pelaburan berjumlah RM800,000 hingga RM1 juta, bagi setiap cawangan baharu di Malaysia.
“Semua cawangan Marrybrown menggunakan sepenuhnya konsep ini. Restoran Marrybrown ibarat restoran keluarga, yang memerlukan ruang yang luas dan reka bentuk konsep keluarga.
“Jadi bila kita ubah terma kita kepada medan selera (food court), kita punya perancangan sudah agak berlainan,” katanya.
Pada masa ini, Khairul Azman berkata, terdapat beberapa cawangan Marrybrown di negara-negara maju seperti di Dubai, dibuka di medan selera kerana kos sewa yang tinggi.
“Disebabkan itu, kami terpaksa merendahkan kos dari segi pelaburan. Dengan cara ini, kami pergi ke arah (konsep) medan selera. Biasanya, bila keadaan ini berlaku, bukan sahaja Marrybrown, malah jenama-jenama francais negara luar juga akan berbuat demikian.
“Namun, di Malaysia, masih lagi berkemampuan untuk kita mendapatkan lot kedai atau ruang niaga di pusat membeli-belah. Cuma, ada lokasi tertentu seperti di Johor Premium Outlet, Johor dan dua atau tiga lokasi, kita buka di medan selera,” katanya.
Sebagai pemain dalam industri francais, katanya, Marrybrown lebih kepada menjaga kualiti kepada syarikat atau individu yang akan mengendalikan francais mereka, bukan dengan mengurangkan kos.
Katanya, kebanyakan francaisi di bawah Marrybrown terdiri daripada syarikat korporat, koperasi dan persatuan-persatuan perniagaan.
“Bagi mereka yang bukan dalam sektor korporat, tetapi berminat menjadi francaisi Marrybrown, kami akan menggalakkan mereka untuk mencari rakan kongsi bagi membuka cawangan baharu Marrybrown, dengan konsep perniagaan sepenuhnya restoran,” katanya.
Tawar pakej pra-francais bermula RM25,000
INITIATE Global Resources Sdn Bhd (Initiate Global Resources), pengeluar tudung dan pakaian wanita jenama Querenda menawarkan pakej pra-francais, dengan modal serendah RM25,000, bagi memulakan perniagaan menggunakan jenama yang dikeluarkan syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roszie Amir berkata, usahawan pra-francais di bawah syarikat itu akan mendapat hak eksklusif menjual semua produk jenama Querenda, selain mendapat bimbingan berterusan daripada Initiate Global Resources.
“Dengan hanya RM25,000, usahawan boleh membuka kios Querenda di lokasi strategik. Bagi mereka mahu mendapatkan pendapatan sampingan dengan berniaga, kami turut menawarkan pakej mesin layan diri (vanding machine) yang boleh menjual pelbagai koleksi tudung Querenda, dengan modal RM36,000 termasuk produk.
“Mereka tidak perlu pening memikirkan produk kerana kami sudah menyediakannya. Dalam masa sama, kami akan mengajar mereka cara menjual, data apa yang perlu diambil daripada pelanggan, kewangan dan lain-lain,” katanya.
Roszie berkata, Initiate Glibal Resources membuka peluang itu bagi membolehkan mereka yang berminat mengusahakan perniagaan francais dengan modal kecil.
“Kami sedar, modal yang besar sehingga beratus ribu ringgit dan mencecah jutaan ringgit diperlukan untuk memulakan sesuatu perniagaan francais kerana ia melibatkan satu jenama yang besar dan dikenali ramai.
“Namun, bagi mereka yang mahu berjinak-jinak dengan dunia francais, ini adalah peluangnya. Bukan semua perniagaan francais memerlukan kos yang tinggi untuk diusahakan,” katanya.
Initiate Global Resources yang beroperasi sejak Julai 2014 merupakan syarikat pra-francais yang berdaftar dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Sukar turunkan kos
PAKEJ perniagaan francais yang ditawarkan francaisor kepada francaisi sukar untuk diturunkan kerana ia melibatkan pelbagai kos berkaitan untuk memulakan bisnes.
Pengarah Strategi Creamore Venture Sdn Bhd (Creamore Venture), Azree Azhar Awi berkata, kos itu termasuk jenama, peralatan dan produk perniagaan yang dibekalkan francaisor kepada francaisi.
“Sukar untuk turunkan harga untuk pakej-pakej ini kerana ia memang sudah cukup-cukup untuk peralatan dan sebagainya untuk memulakan perniagaan.
“Kami di Creamore Venture akan membantu pra-francais kami untuk mendapatkan pembiayaan daripada agensi kerajaan seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun),” katanya.
Azree Azhar berkata, Creamore Venture yang memfokuskan kepada perniagaan minuman berkonsepkan trak makanan (food truck), kios dan kafe bakal memohon lesen francais tahun hadapan.
“Kami lihat perniagaan francais mempunyai peluang yang bagus untuk kami meluaskan pasaran. Selain itu, francaisor akan dapat bimbingan daripada PNS, agensi yang membangunkan industri francais.
“Bila sudah menjadi francaisor yang berdaftar, francaisi di bawah syarikat akan dapat pembiayaan yang lebih besar,” katanya.
Mengulas tentang perniagaannya, beliau berkata, Creamore Venture menawarkan tiga pakej perniagaan pra-francais kepada usahawan yang berminat, iaitu pakej trak makanan pada harga RM70,000, kios (RM100,000) dan kafe (RM250,000), menerusi jenama Creamore Coconut Shake.
“Selain kemudahan dan kelengkapan untuk memulakan perniagaan, kami akan memberi latihan dan bimbingan kepada pra-francaisi kami,” katanya.
Sehingga kini, Creamore Coconut Shake yang memulakan operasi pada akhir 2014 mempunyai tujuh buah gerai, dua trak makanan dan kafe di sekitar Lembah Klang dan Melaka.
INFO
* Francaisor adalah pemberi francais kepada pemegang francais, termasuk pemegang francais induk berkenaan dengan hubungannya dengan pemegang sub-francais.
* Francaisi adalah syarikat yang diberikan hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem yang ditentukan pemberi francais (francaisor), dalam tempoh dan lokasi ditentukan.
Kelebihan perniagaan francais kepada francaisor:
– Peluang untuk mengembangkan perniagaan tanpa apa-apa perbelanjaan modal.
– Nikmati skala ekonomi.
– Perkongsian risiko.
– Pengurangan dalam pengurusan sumber manusia.
– Menerima maklum balas yang menyeluruh ke atas perniagaan.
– Tumpuan boleh diberikan kepada penyelidikan dan pembangunan.
Kelebihan perniagaan francais kepada francaisi:
– Risiko perniagaan yang lebih rendah.
– Peluang untuk mengedar barangan atau perkhidmatan yang sudah popular.
– Nikmati skala ekonomi.
– Bimbingan dari sistem pengurusan perniagaan yang cekap.
– Sokongan berterusan daripada pemberi francais, agensi kerajaan dan kewangan.
http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/potensi-perniagaan-francais-1.678254