BERITA HARIAN – 8 JANUARI 2016
KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) memperuntukkan sejumlah RM410 juta tahun ini bagi menyediakan pembiayaan dan mengukuhkan portfolionya, terutama pelaburan dalam ekuiti dan hartanah. Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata pihaknya kekal meneruskan agenda untuk membantu usahawan di negara ini, meskipun menyedari tahun 2016 akan berhadapan pelbagai situasi mencabar. Katanya, PNS mempunyai empat portfolio merangkumi ekuiti, hartanah, latihan dan francais yang menyumbang kepada perolehan agensi milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) itu. Beliau berkata, portfolio hartanah dan ekuiti masih menjadi penyumbang utama kepada pendapatan PNS iaitu 80 peratus, manakala selebihnya disumbangkan menerusi program latihan dan francais. ”
Justeru, tahun ini pelaburan ekuiti menerima peruntukan sebanyak RM100 juta dengan menyasarkan sekurang-kurangnya pelaburan daripada dua syarikat jenama francais. “Pelaburan hartanah pula diperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi menambah baik aset hartanah sedia ada untuk meningkatkan nilai pulangan lebih baik,” katanya dalam temubual di sini, hari ini. Syed Kamarulzaman berkata, tahun 2016 adalah mencabar bagi PNS dalam memacu pembabitan usahawan sektor perniagaan, sekali gus memastikan mereka mampu berdaya saing ke peringkat lebih tinggi. Sehubungan itu, katanya, menerusi pelaburan ekuiti, PNS akan membuat penelitian rapi dan memilih syarikat yang memiliki modal pertengahan, tetapi mampu menjana pulangan lebih tinggi.
“Sememangnya syarikat yang menjana pulangan lebih tinggi juga berhadapan risiko tinggi, tetapi kita berusaha untuk menseimbangkan keadaan itu,” katanya. Mengulas mengenai peruntukan pembiayaan, Syed Kamarulzaman berkata PNS tetap meneruskan agenda mereka untuk membantu usahawan menceburi bidang perniagaan francais dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM60 juta.
Katanya, menerusi peruntukan itu, pihaknya merancang untuk membantu sekurang-kurangnya 140 usahawan francais dan pemegang lesen dengan peruntukan RM38 juta; 40 usahawan menerusi Peluang Perniagaan Pra Francais (BIT) RM1 juta; 20 syarikat francaisor dan pemegang lesen (RM20 juta) dan 20 syarikat BIT (RM1 juta). Menerusi pembiayaan kontrak pula, beliau berkata, PNS memperuntukkan RM200 juta untuk menyediakan pembiayaan kepada kira-kira 200 syarikat Bumiputera, tahun ini.