9 March 2015 – Sinar Harian
PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) memperuntukkan sehingga RM70 juta tahun ini bagi membantu usahawan meneroka peniagaan francais berbanding pada tahun lalu kira-kira RM50 juta sahaja.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, penambahan peruntukkan itumeningkat kerana bilangan syarikat francais baharu dari luar negara yang memasuki pasaran, permintaan untuk dana itu akan meningkat memandangkan kos francais antarabangsa lebih tinggi.
Menurutnya, jika permintaan tinggi, PNS akan mencari jalan membantu memenuhi keperluan kewangan kepada usahawan untuk mereka meneroka bidang itu dengan syarat syarikat itu berdaya mengikut penilaian PNS.
“PNS menyediakan jumlah pembiayaan berbeza kepada setiap usahawan francais bermula RM5,000 hingga RM2 juta. PNS hanya memberikan bantuan kewangan sebanyak 70 peratus kos projek kepada usahawan francais dan selebihnya disediakan mereka sendiri.
“Kadar pulangan yang diterima antara 4.5 peratus dan tujuh peratus sahaja,” katanya sempena Sidang Kemuncak Francais Antarabangsa 2015 (IFM 2015) di Kuala Lumpur, baru- baru ini.
Syed Kamarulzaman berkata, pertumbuhan perniagaan francais di Malaysia selari pencapaian di Amerika Syarikat (AS) kira-kira lima sehingga 10 peratus.
“Sepanjang lima tahun lalu, pertumbuhan sektor itu juga kira-kira lima peratus dan ke atas. PNS menjangkakan ia akan berterusan memandangkan sektor itu masih belum tepu berbanding di AS” katanya.
Tambahnya, PNS berharap francais yang dibangunkan sendiri dalam negara berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa.
“Kita sudah mempunyai beberapa francais dan berharap lebih banyak akan diperkenalkan. Usahawan perlu meningkatkan dan melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan, mengukuhkan perniagaan dan berani meneroka ke pasaran luar,” katanya.
Beliau berkata, IFM2015 sebahagian daripada usaha PNS untuk membantu usahawan dan program francais pada Jun nanti.
IMF 2015 dirasmikan Pengerusi PNS, Datuk Idris Hashim dan disertai 400 peserta melibatkan lapan negara iaitu Argentina, Australia, AS, India, Korea, Nigeria, Singapura, Indonesia dan peserta tempatan.
Salah seorang penceramah IMF2015, Pengarah Persatuan Francais Dunia, Martin Hancock sebelum itu berkata, AS merupakan pusat francais dan persekitaran peniagaan itu sangat positif tahun ini.