William (kanan) dan Syed Kamarulzaman (dua, kiri) ketika majlis perasmian Farmasi Constant di Puchong, baru-baru ini.
SINAR HARIAN – 31 MARCH 2016
PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) memperuntukkan RM5 juta untuk membantu sekurang-kurangnya 10 usahawan dalam bidang farmasi menjadi francaisi menerusi jenama Constant.
Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, PNS menyediakan dana maksimum RM500,000 bagi usahawan yang berminat membuka cawangan farmasi tersebut.
“Bagi membuka satu cawangan farmasi itu memerlukan sekurang-kurangnya RM750,000.
“Usahawan yang layak akan menerima dana RM500,000 dan RM250,000 lagi akan disediakan oleh usahawan tersebut,” katanya selepas majlis pelancaran farmasi Constant dan laman webnya di Puchong, semalam.
Menurutnya, pihaknya menggalakkan penyertaan individu yang mempunyai pengalaman di dalam bidang farmasi menjadi pemilik francais bagi jenama berkenaan.
Sepanjang tahun ini, PNS menyediakan dana keseluruhan sebanyak RM40 juta bagi sektor-sektor lain antaranya makanan dan minuman dan perkhidmatan.
Bioalpha Holdings Berhad telah membeli 13 cawangan Farmasi Constant di seluruh Lembah Klang dengan nilai RM5 juta.
Pengarah Urusan Bioalpha, William Hon berkata, syarikat itu menyasarkan untuk menambah jumlah farmasi lebih daripada 20 cawangan menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, sehingga kini Bioalpha menerima sambutan yang menggalakkan daripada lima usahawan untuk membuka cawangan farmasi Constant di pantai timur, Bangi dan Johor.
“Kami turut menyediakan latihan awal kepada mana-mana usahawan muda menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) khususnya pelajar tahun akhir.
“Kami dijangka melatih 500 graduan bidang ini dalam membentuk usahawan farmasi,” katanya.
Farmasi Constant akan menawarkan diskaun sehingga lima hingga 50 peratus bagi produk-produk tertentu bagi ahli farmasi dan kepada lapan juga anggota Angkasa di seluruh negara.
URL : http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/pns-sedia-dana-rm5j-ceburi-farmasi-1.503954