BERITA HARIAN – 15 Februari 2016
PENGARAH Urusan Perbadanan Nasional Berhad, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin (kanan) mendengar penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Zawara Sdn Bhd, Kamarul Ariff (dua dari kanan) ketika meninjau operasi pejabat Zawara pada Program Media Discovery PNS 2016 di Ara Damansara. – Foto Aizuddin Saad
KUALA LUMPUR: Industri francais tempatan masih terus mengukuh dan berdaya tahan untuk berdepan situasi turun naik ekonomi semasa.
Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata ini berdasarkan permintaan pengguna yang masih tinggi.
Katanya, nisbah pembiayaan dana PNS kini juga mencatatkan pertumbuhan hampir seimbang (50:50) dalam sektor makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan.
”PNS menyasarkan peruntukan pembiayaan kira-kira RM40 juta pada tahun ini,” katanya kepada pemberita sempena lawatan media ke ibu pejabat Zawara Sdn Bhd di Petaling Jaya, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zawara, Kamarul Arif dan Ketua Pegawai Operasi Zawara, Dilla Karim.
PNS adalah pembiaya perniagaan francais bagi Zawara dengan jumlah pembiayaan yang sudah diterima oleh 12 francaisi sebanyak RM2.1 juta setakat ini.
Syarikat berkenaan juga sedang menunggu kelulusan pinjaman daripada PNS sebanyak RM5 juta.
Diasaskan pada 2009, butik fesyen pertama Zawara dibuka pada Januari 2013 dan sehingga kini, memiliki sebanyak 19 butik di seluruh Malaysia serta lima kafe kopi.
Sementara itu, Kamarul berkata, pengeluar dan pengedar fesyen Muslimah dan kafe kopi jenama Zawara itu memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM10 juta tahun ini bagi dua segmen perniagaannya iaitu fesyen dan F&B.
Katanya, perbelanjaan itu masing-masing membabitkan RM5 juta untuk butik fesyen, yang terdiri daripada penambahan produk baharu dan kosmetik, sementara bakinya untuk pembukaan kafe kopi baharu serta memperluaskan dapur berpusat atau ‘central kitchen’.
”Pada tahun ini, kita menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta menerusi segmen F&B, manakala RM60 juta bagi fesyen.
”Selain itu, kami juga menyasarkan untuk pengembangan jenama Zawara ke luar negara bermula tahun depan terutama dalam segmen perniagaan kafe kopi,” katanya.
URL : http://www.bharian.com.my/node/124780