21 April 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 20 April – Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) menyasarkan untuk melatih 100 usahawan francais dalam kalangan siswazah dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi program khas yang akan dilancarkan menjelang akhir 2014.
Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin (gambar) berkata, program itu seiring dengan visi kerajaan untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Katanya, selain dapat menjana kualiti hidup rakyat lebih mampan melalui model perniagaan francais, menggalakkan golongan muda khususnya siswazah menceburi bidang perniagaan
“Program khas ini akan melatih bakal usahawan untuk bekerja sebagai pelatih di premis perniagaan francais dan seterusnya sekiranya pelatih tersebut berjaya menunjukkan prestasi positif, mereka akan dijadikan usahawan francais dengan membuka perniagaan francais sendiri.
“PNS akan membiayai sehingga 70 peratus pembiayaan bagi membuka perniagaan francais mereka bagi pelatih yang berjaya malah francaisor akan mengurangkan kos francais kepada bakal usahawan yang dipilih ke program ini sebagai usaha untuk terus menyuntik semangat kepada peserta yang berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Syed Kamarulzaman berkata, dalam menjalani proses ini, setiap bakal usahawan atau graduan terpilih juga akan menjalani latihan pengurusan perniagaan francais di Akademi PNS yang akan menyediakan kursus lengkap bagi memberi pendedahan meluas mengenai bidang perniagaan khususnya francais.
Menurutnya, peserta terpilih itu dikehendaki untuk menjalani kursus berkenaan setiap dua bulan bersama PNS Akademi.
“Menjadi harapan kami di PNS untuk menggalakkan generasi muda menjadikan perniagaan sebagai kerjaya mereka dan perlaksanaan program ini sekaligus memberi peluang kepada mereka untuk menceburi bidang francais khususnya,” katanya.
“Antara pilihan sektor francais adalah sektor makanan, perkhidmatan, pakaian dan aksesori, pusat pembelajaran dan asuhan kanak-kanak, rawatan kecantikan dan kesihatan, kedai serbaneka dan pasar raya serta teknologi maklumat dan telekomunikasi,” katanya.
Setakat ini, terdapat lebih dari 650 perniagaan francais berdaftar yang boleh menjadi pilihan golongan sasaran.
Mereka yang berminat boleh menghubungi Akademi PNS bagi mengetahui maklumat lanjut mengenai program di tawarkan ini.