9 September 2015 – Utusan Online
KUALA LUMPUR 8 Sept. – Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) komited mengukuhkan industri francais negara melalui pembangunan modal insan dalam kalangan usahawan francais.
Pengerusi PNS Datuk Seri Syed Ali AlHabshee berkata, MFA akan memainkan peranannya dengan memantau prestasi ahli persatuan lebih kerap dan menyeluruh untuk memastikan usahawan yang dihasilkan mempunyai kualiti serta nilai yang tinggi untuk menjadi contoh negara luar.
Katanya, beberapa inisiatif yang dijalankan untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hub francais menjelang 2020 telah dirangka, antaranya adalah dengan mengenal pasti usahawan Malaysia yang telah bertapak di luar negara untuk berdaftar dengan MFA supaya perniagaan mereka boleh dikembangkan sebagai perniagaan francais, seterusnya meningkatkan bilangan usahawan Malaysia di luar negara.
“Oleh itu, beberapa kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain serta gabungan kepakaran pemain industri francais seperti MFA, Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) (MRCA), dan Persekutuan Francais dan Rangkaian Runcit ASEAN (ARFF) akan dilaksana untuk memastikan inisiatif ini boleh diperhalusi lagi dan dipertingkatkan keberkesanannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada MFA yang diketuai oleh Pengerusi MFA, Datuk Latip Sarugi, di pejabat PNS di sini baru-baru ini.
Sementara itu Latip berkata, MFA akan menyokong sepenuhnya usaha yang dijalankan PNS dengan menawarkan bimbingan usahawan dari segi perkongsian ilmu francais.
“Saya yakin sinergi padu di antara MFA dan PNS akan membuahkan hasil positif terhadap pertumbuhan industri negara, secara tidak langsung menjadikan industri francais Malaysia setaraf dengan negara-negara membangun,” katanya.
url: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/pns-mfa-komited-kukuhkan-francais-1.133514