BERITA HARIAN – 6 APRIL 2016
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) melancarkan siri program baharu “Sembang Santai Francais” (SSF) yang akan dianjurkan setiap dua bulan sehingga akhir tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata program itu dijangka akan memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan positif industri francais serta mengembangkan modal insan.
Katanya, siri pertama SSF akan disertai oleh 60 peserta termasuk usahawan kecil, usahawan runcit, usahawan francais, dan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Putra Malaysia.
“Saya percaya dengan adanya perkongsian ilmu daripada jenama besar dalam industri ini, PNS mampu melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berkualiti bagi menghadapi cabaran global kini.
“Ia diharapkan dapat memberi inspirasi kepada usahawan francais untuk memajukan perniagaan,” katanya kepada media pada pelancaran SSF, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, menjelang akhir tahun kerajaan menyasarkan industri francais negara mampu menyumbangkan RM26 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, ia sejajar dengan sasaran tinggi yang ditetapkan kerajaan untuk industri menyumbang 9.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.