Kuala Lumpur, 18 Jun 2021,
Perbadanan Nasional Bhd (PNS) melaksanakan penjenamaan semula sebagai satu proses strategik ke arah pembinaan semula imej agar kekal relevan serta memperkukuh kedudukannya menjadi peneraju industri francais.
PNS dalam satu kenyataan berkata, penjenamaan semula itu membabitkan pertukaran akronim dan logo melalui pelancaran jenama baharu pada 21 Jun 2021, namun mengekalkan nama PNS.
Katanya, langkah itu turut membabitkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh PNS kepada pelanggan dan usahawan.
Katanya, PNS ingin memberi gambaran yang lebih jelas kepada orang ramai mengenai peranannya dalam industri francais negara dan keusahawanan, seterusnya menangani isu kekeliruan jenama PNS dengan organisasi kerajaan yang lain.
Seiring dengan langkah itu katanya, PNS akan terus komited merancakkan industri francais yang menjadi salah satu sektor penting dalam pembangunan ekonomi negara.
“Sebagai agensi yang diberi mandat menerajui pertumbuhan industri francais sejak 2004 dan berada di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), PNS akan terus melahirkan usahawan yang berkualiti dan berdaya maju khususnya dalam perniagaan francais selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.
“PNS menyasarkan dapat mewujudkan 3,600 peluang perkerjaan baru dalam bidang perniagaan francais pada tahun ini,” katanya.
PNS berkata, bagi menyokong perkara itu, dua projek baharu telah dilancarkannya awal tahun ini sebagai menyokong hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan iaitu ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ dan Projek Xcelerator.
BYOB katanya menawarkan dua program di bawahnya iaitu program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) untuk wanita dan program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) untuk golongan belia.
Katanya, PNS menyasarkan dapat melahirkan 1,000 francaisi melalui program itu.
“Sasaran mewujudkan lebih ramai usahawan dapat direalisasikan dengan memperkukuhkan lagi penyertaan daripada golongan usahawan bumiputera, belia, wanita dan siswazah.
“Selain bertujuan membantu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia yang semakin meningkat ketika ini, inisiatif ini juga bertujuan memupuk masyarakat untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan utama,” katanya.
PNS berkata, kerjasama strategik turut dilaksanakan dengan agensi awam dan swasta bagi mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan, meluas dan membangunkan serta memperkukuh sistem perniagaan sedia ada.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/06/829194/pns-laksana-penjenamaan-semula