5 March 2015 – Kosmo
Dalam Islam ada disebut, sembilan daripada 10 pintu rezeki itu datangnya daripada berniaga. Falsafah masyarakat Cina pula berbunyi: “Dunia perniagaan penuh dengan sepak terajangnya. Oleh itu, peniaga perlu mempersiapkan dirinya dengan seni kung fu perniagaan bagi menghadapi sebarang bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.”
Kedua-dua falsafah ini menunjukkan bahawa kepentingan berniaga amat ditekankan oleh setiap ajaran di dunia kerana ia mampu memberi kesenangan meskipun terdapat banyak cabaran dan risiko yang mendatang.
Tidak kiralah sama ada berniaga secara kecil-kecilan di kampung-kampung, kedai runcit di bandar, syarikat multinasional mahupun sistem perniagaan francais, kesemuanya mempunyai cerita yang tersendiri.
Bagi usahawan Suhaime Mokhtar, 34, penglibatannya dalam bidang perniagaan itu mempunyai berkaitan dengan minatnya terhadap pembuatan kopi.
Ketika itu, dia berkhidmat sebagai Pengurus Latihan di Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang bertanggungjawab memberi latihan dan kursus kepada para barista, francaisor atau francaisi yang berdaftar dengan syarikat tersebut.
“Suatu hari, seorang pelatih mencabar saya membuka perniagaan sendiri, berbanding menjadi pengurus latihan yang hanya petah berkata-kata.
“Saya terpukul dengan pertanyaan tersebut. Ia seolah-olah menyatakan saya sekadar tahu memberikan penerangan mengenai perniagaan francais tanpa mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
“Jadi, bagaimana saya boleh memberi nasihat kepada orang lain untuk berniaga, sedangkan diri sendiri pun makan gaji?” soalnya mengimbau detik permulaan beliau menceburi bidang perniagaan.
Tambah anak muda yang berasal dari Ampang, Selangor itu, selepas mendapat nasihat daripada salah seorang orang penting di PNS, dia mengambil alih cawangan Gloria Jean’s Coffees di Subang Parade, Subang Jaya, Selangor dengan menjadi francaisi bagi kafe yang dimiliki oleh pemegang francais induknya, Malaysian International Franchise Sdn. Bhd. (MyFranchise), iaitu sebuah anak syarikat PNS.
“Dari situ, baru saya sedar bahawa bukan mudah untuk berniaga kerana saya hampir-hampir putus asa apabila perniagaan tersebut mengalami kerugian pada tahun pertama beroperasi.
Cekal hati
“Namun, apabila memikirkan mengenai cabaran tersebut, saya cekalkan hati untuk mengharunginya.
“Berkat kesabaran dan beberapa perubahan yang dilakukan terhadap operasi serta peruntukan perbelanjaan, cawangan tersebut mula memberi pulangan modal pada tahun kewangan kedua,” katanya.
Suhaimie yang merupakan bekas barista kini boleh tersenyum bangga apabila dalam tempoh hampir tiga tahun, beliau berupaya menguruskan tiga buah cawangan Gloria Jean’s Coffees termasuk di Dataran Maybank, Bangsar, Kuala Lumpur dan Bank HSBC, Cyberjaya serta sebuah lagi yang dijangka dibuka di KPJ Seremban pada Mei tahun ini.
“Selain minat yang mendalam dan kegigihan, saya bernasib baik kerana mendapat pinjaman bank untuk modal perniagaan selain pembiayaan daripada PNS yang menyediakan bantuan sehingga 70 peratus.
“Disebabkan itu, saya ingin menasihati para usahawan yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan francais bahawa banyak bantuan dan bimbingan disediakan pelbagai agensi kerajaan seperti PNS,” ujar Suhaime.
Dalam pada itu, pengasas rangkaian kios burger bakar popular, Burger Bakar Abang Burn, Sabrie Salleh, 29, berkata, walaupun beliau pernah gagal dalam perniagaan, ia tidak melemahkan semangatnya untuk terus berniaga.
“Dengan trend burger bakar menjadi kegilaan orang, saya memulakan perniagaan kios Burger Bakar Abang Burn.
“Bagaimanapun, saya memberikan sentuhan inovasi dan pembaharuan bagi makanan tersebut. Siapa sangka, ia menjadi sebutan ramai,” katanya yang kini bergelar francaisor bagi jenama berkenaan.
Baginya, selain usaha berterusan, sokongan yang diberikan PNS juga telah banyak membantunya untuk mengembangkan perniagaan francais tersebut.
“Antaranya, sokongan dari segi perkongsian ilmu perniagaan dan pengalaman daripada pihak yang lebih mengetahui cara membantu usahawan seperti saya menjalankan perniagaan,” katanya.
Hakikat tersebut diakui oleh Pengarah Urusan PNS sendiri, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin yang ditemui Kosmo! di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Skim pembiayaan
Menurutnya, sebagai sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Kementerian Kewangan serta diselia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, PNS berperanan melaksana dan menjadi peneraju bagi membangunkan industri francais di Malaysia.
“Bermula dari tahun 2004, kami komited untuk membantu para usahawan francais dengan menawarkan beberapa skim pembiayaan, antaranya skim pembiayaan francais, skim pembiayaan kecil francais, skim pembiayaan prafrancais, skim pembiayaan kontrak, skim pembiayaan lisensi, skim pembiayaan francaisor serta skim pembiayaan prafrancais.
“Kesemua ini diwujudkan bagi membantu dan menggalakkan orang ramai untuk menjadi usahawan francais di samping beberapa lagi inisiatif lain yang dilaksanakan untuk tujuan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, dalam memastikan peranan PNS terus relevan dengan perkembangan industri francais semasa, pihaknya telah mempelbagaikan cabang perniagaan dalam usaha memberikan bantuan lengkap kepada usahawan francais di negara ini.
“Selain segmen pembiayaan, kami mempunyai bahagian pelaburan ekuiti yang bertanggungjawab dalam mencari dan mencadangkan peluang pelaburan ekuiti yang berdaya maju serta berprestasi tinggi.
“Ia disasarkan dalam pelbagai sektor termasuklah perkhidmatan, kewangan, peruncitan, makanan dan minuman, minyak dan gas, minyak sawit serta farmasi,” ujarnya sambil menambah pelaburan ekuiti tersebut adalah penting untuk membantu syarikat-syarikat yang hendak disenaraikan di Bursa Malaysia.
Selain itu, menurut Syed Kamarulzaman, setelah mendengar keluhan daripada usahawan francais mengenai kesulitan yang dihadapi seperti mendapatkan premis perniagaan yang strategik dan kemampuan membayar sewa, PNS telah menyediakan kemudahan hartanah kepada golongan tersebut.
“Apa yang kami lakukan adalah meninjau lot-lot tanah atau bangunan komersial yang berpotensi untuk dibeli, kemudian menyewakannya pada kadar berpatutan kepada usahawan berminat.
“Seterusnya, mereka diberi pilihan untuk membeli premis tersebut daripada kami selepas mempunyai modal yang mencukupi,” ujarnya sambil menambah perniagaan francais di bawah seliaan PNS, Gloria Jean’s Coffees, sehingga kini telah melahirkan sehingga 68 usahawan francaisi.
Menurut Syed Kamarulzaman, dalam memastikan usahawan yang dilahirkan itu mempunyai ilmu pengetahuan tinggi dan skil yang mencukupi, pihaknya telah menubuhkan Akademi PNS pada tahun 2011 bagi menjalankan program latihan francais dan bukan francais.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Program Latihan Francais, Program Latihan Softskill serta Program Kesedaran yang merangkumi aktiviti seperti sesi forum, padanan perniagaan serta perkongsian ilmu yang terbuka kepada sesiapa sahaja,” jelasnya.
Hab francais
Tambahnya, dengan semua inisiatif serta transformasi yang dilaksanakan, kerajaan menyasarkan sektor francais untuk menyumbang sebanyak sembilan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada tahun 2020 selain Malaysia mampu menjadi hab francais peringkat Asean.
“Kami ingin melihat para usahawan berkembang bukan sahaja di pasaran domestik, malahan ke peringkat global dengan terus mengintai potensi yang terdapat di pasaran luar,” ujarnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan perkembangan sektor francais di Malaysia serta penglibatan yang ditunjukkan oleh usahawan bumiputera, Syed Kamarulzaman tersenyum tawar sambil melepaskan sebuah keluhan.
“Bermacam-macam bantuan dan inisiatif telah disediakan, daripada bantuan pembiayaan sehinggalah kepada kemudahan premis, namun kami melihat bilangan usahawan francais ini masih belum mencapai tahap memuaskan,” katanya.
Tambahnya, para usahawan perlulah mempunyai pemikiran kreatif dan kritis bagi menentukan hala tuju perniagaan mereka.
“Sebagai contoh, bagi memastikan sesebuah perniagaan itu berdaya saing, usahawan hendaklah menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang berbeza selain mempunyai keunikan tersendiri.
“Jika berniaga nasi lemak, fikirkan suatu cara untuk memastikan nasi lemak itu istimewa dan berbeza daripada yang lain.
“Ini seterusnya akan menjadikan perniagaan tersebut mendapat sambutan ramai, sekali gus membina jenama sendiri yang lebih kukuh dan mudah diingati,” jelasnya.
“Bagaimanapun, bagi yang masih berkira-kira sama ada untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan ataupun tidak, semuanya bergantung kepada diri sendiri.
“Anda perlu tepuk dada dan tanya diri sendiri, sama ada mahu terus makan gaji seumur hidup ataupun hidup senang dengan perniagaan yang diusahakan hasil titik peluh sendiri,” kata Syed Kamarulzaman mengakhiri perbualan.