7 FEBRUARI 2014 – UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 6 Feb. – Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) mengenal pasti tujuh jenama francais dari Amerika Syarikat (AS) yang berminat mengembangkan prospek perniagaan ke negara ini.
Lima daripadanya adalah produk makanan iaitu Let’s Yo! dan Forever Yogurt (makanan yogurt), Dippin’ Dots (ais krim), Chester (ayam goreng) dan Jamba Juice (minuman jus), manakala dua lagi ialah kedai gunting rambut kanak-kanak, Snip-its dan Oxxo (kedai dobi yang beroperasi 24 jam).
Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, kesemua jenama tersebut mempunyai potensi perniagaan yang sewajarnya direbut golongan usahawan bumiputera di negara ini.
Bagaimanapun katanya, hasrat itu terhalang apabila PNS mendapati tiada usahawan yang menepati kriteria dikehendaki bagi menjalankan perniagaan francais berkenaan.
“Sebenarnya, modal bukan satu masalah kerana PNS menyediakan bantuan sehingga 70 peratus daripada keseluruhan pembukaan cawangan, sebaliknya usahawan-usahawan ini harus melengkapkan diri mereka dengan ilmu terutama dalam menguruskan perniagaan francais.
“Malah, PNS turut menyediakan latihan berkaitan jika ada usahawan yang berminat, kami sedia membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kesemua jenama tersebut dikenal pasti ketika PNS menyertai Ekspo Francais Antarabangsa di New York, pada pertengahan tahun lalu.
Jelas Syed Kamarulzaman, golongan usahawan muda khususnya perlu bijak merebut peluang dalam perniagaan francais kerana bidang itu menjanjikan masa depan yang cerah.
“Kami berharap usahawan-usahawan di negara ini tidak melepaskan peluang untuk meneroka prospek perniagaan yang ditawarkan oleh tujuh jenama francais ini apabila ia dibawa masuk ke Malaysia nanti,” ujarnya.
Setakat ini, kata beliau, satu-satunya jenama antarabangsa yang dibawa masuk menerusi PNS ialah Gloria Jeans Coffee yang kini mempunyai 31 cawangan di seluruh negara.
Menurut beliau, perniagaan francais di luar negara berkembang dengan baik terutama bagi sektor perhotelan dan penjagaan kesihatan.
Syed Kamarulzaman memberitahu, PNS juga dalam perancangan untuk memodenkan perniagaan tradisi seperti pembuatan kuih-muih tradisional melalui perniagaan francais supaya pengeluaran produk dapat diteruskan oleh generasi akan datang.