9 February 2015 – Sinar Harian
PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) mengunjurkan pembiayaan antara RM60 juta hingga RM70 juta kepada usahawan yang berminat menceburi perniagaan francais dengan margin 70 peratus.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata, PNS optimis mencapai sasaran itu sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan keusahawanan francais dalam kalangan golongan muda di negara ini.
“Pada masa ini, kira-kira 34 hingga 35 peratus pembiayaan yang disalurkan PNS ialah dalam industri makanan dan minuman (F&B). Kami akan teruskan lagi pembiayaan ini kepada F&B dan industri lain.
“Kami melihat, industri F&B masih mendapat tempat dalam kalangan pengusaha perniagaan francais kerana ia mudah diusahakan, selain tidak mempunyai risiko tinggi berbanding perniagaan lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Syed Kamarulzaman berkata, pada masa depan, PNS berhasrat melihat lebih banyak jenama francais antarabangsa yang dibawa masuk ke negara ini berwajah Malaysia.
Katanya, hasrat itu bagaimanapun tidak memberi impak terhadap jenama tempatan kerana syarikat Malaysia boleh mempelajari selok-belok perniagaan syarikat antarabangsa tersebut dan mengaplikasikannya dalam bentuk yang sesuai dengan pasaran tempatan sebagai satu cara untuk mengembangkan bisnes masing-masing, pada masa akan datang.
“Suatu yang unik mengenai Malaysia, negara kita dikenali sebagai hab halal global. Kadang kala, bila ada produk antarabangsa yang tidak halal memasuki Malaysia, kita dapatkan pengiktirafan halal di sini dan dipasarkan semula.
“Sebagai contoh, Gloria Jean’s Coffees berasal dari Australia. Kini, kita adalah francais induk Gloria Jean’s Coffees bagi pasaran Malaysia dan Brunei yang dapat pengiktirafan halal,” katanya.
Selain itu, menurutnya, PNS merancang untuk membawa antara empat hingga enam jenama francais antarabangsa termasuk dari Dubai dan Amerika Syarikat (AS) menerusi program yang bakal dianjurkan, Mac ini.
“Pelbagai jenis perniagaan akan terlibat dalam acara ini dengan 50 peratus daripadanya adalah perniagaan sektor F&B,” katanya.