Bernama – 1 Disember 2015
SUNGAI BULOH, 1 Dis (Bernama) — Perbadanan Nasional Berhad (PNS) telah mencapai sasaran meningkatkan pembiayaan di sektor perkhidmatan sebanyak RM31 juta kepada usahawan francais daripada jumlah keseluruhan pembiayaan RM41.45 juta setakat November ini.
Pengarah Urusannya Datuk Syed Kamarulzaman Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata ini merupakan perkembangan positif kerana sebelum ini sektor makanan dan minuman mencatatkan pembiayaan lebih tinggi.
Peruntukan pembiayaan kepada sektor makanan dan minuman pada tempoh tersebut ialah sebanyak RM11 juta.
“Sektor perkhidmatan mempunyai kepelbagaian berbanding sektor makanan dan minuman kerana memerlukan modal lebih rendah selain memberikan pulangan lumayan.
“Contohnya seperti perniagaan berkaitan jahitan dan pakaian yang membolehkan ramai individu menggunakan perkhidmatan tersebut berbeza dengan sektor makanan dan minuman yang banyak terdapat di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan baharu pemegang francais rangkaian kedai dobi Adan Laundry, di sini, hari ini.
Syed Kamarulzaman berkata, sehingga tahun lalu, PNS secara keseluruhannya telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM95 juta bagi sektor makanan dan minuman serta RM22 juta di sektor perkhidmatan.
Sektor perkhidmatan tersebut meliputi perniagaan dalam perkhidmatan dobi, percetakan, kasut dan pakaian.
Sementara itu Pengarah Urusan Adan Laundry Zamani Zakaria berkata pembukaan cawangan baharu itu telah menambahkan lagi rangkaian kedai syarikat tersebut kepada 37, dengan 18 daripadanya adalah milik francaisi.
Beliau berkata syarikat itu menawarkan perkhidmatam dobi yang ‘eksklusif tetapi murah’ menggunakan sistem ‘Lagoon’ iaitu mengintegrasikan pembasuhan, mengering dan membilas menggunakan air sebagai bahan asas mesra alam.
Operasi syarikat itu bermula pada 2010 dengan pembukaan cawangan pertama di Damansara Damai sebelum dikembangkan dalam bentuk francais pada 2014.
— BERNAMA
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1195606